Lawatan tapak projek PPR oleh JPN KPKT, Exco harap perkembangan positif

BATU MAUNG – Lawatan ke tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)   menunjukkan satu lembaran positif dan juga komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memelihara kepentingan rakyat negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang menyambut baik perkembangan positif tersebut berkata, sememangnya Pulau Pinang mengharapkan lebih perhatian diberikan kepada isu pembinaan unit PPR di negeri ini.

Jelas beliau, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang terendah menerima projek PPR iaitu 999 unit (0.83 peratus) sahaja berbanding 120,000 unit PPR di seluruh negara.

“Meskipun semua sudah maklum terhadap senario perkembangan politik terbaru, tapi ini menunjukkan komitmen oleh Kerajaan Persekutuan untuk terus memelihara kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Sejak tahun 2018, kita (Kerajaan Negeri) telahpun mengemukakan lima plot tanah di kelima-lima daerah untuk dipertimbangkan Pusat bagi membina PPR di negeri ini.

“Melalui lawatan terbaru oleh wakil JPN KPKT diharap akan membawa kepada satu keputusan positif untuk kelulusan pembinaan PPR.

“Mengikut perancangan sebanyak 800 unit akan dibina di Jelutong (Daerah Timur Laut, DTL), 400 unit (Jalan Mayang Pasir, Mukim 12, Daerah Barat Daya, DBD), 450 unit (Ujung Batu, Seberang Perai Utara, SPU), 600 unit (Kampung Tongkang, Seberang Perai Tengah, SPT) dan 450 unit (Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, SPS) yang akan membawa kepada jumlah besar 2700 unit keseluruhannya di tanah keluasan 72. 3 ekar,” ujarnya pada sidang media sebelum menemani pasukan JPN KPKT mengadakan lawatan tapak di Jalan Mayang Pasir, Mukim 12 di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya berharap akan menerima maklum balas memberangsangkan hasil daripada lawatan tersebut.

“Selesai lawatan tapak dijalankan, mereka (KPKT dan JPN) akan balik buat kajian sama ada tapak-tapak yang telah dicadangkan bersesuaian ataupun tidak, dan seterusnya akan membuat laporan kembali kepada Pulau Pinang.

“Ia (tapak) adalah perkara teknikal yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu untuk meneliti kesesuaiannya, kerana ini akan memberi impak kepada projek yang akan dibina kelak,” ujarnya lanjut yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Rafidah Arshad (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Perumahan Jabatan perumahan Negara KPKT).

Ketika ditanya berhubung kaedah pelaksanaan projek PPR berkenaan sama ada melalui kaedah sewa beli atau jualan kelak selepas diluluskan, Jagdeep dalam responsnya memberitahu bahawa ia akan dimuktamadkan kemudian.

“Walaupun Pulau Pinang sebenarnya lebih berminat dengan kaedah sewa beli, namun kita akan muktamadkannya kemudian dan melihat kaedah terbaik untuk diguna pakai.

“Secara dasarnya, saya sendiri ada menyuarakan pendirian bahawa kita (Pulau Pinang) boleh menerima cadangan jualan tetapi yang menjadi isu ialah harga yang ditetapkan… jika dilihat dalam ekologi perumahan perlu juga ada unit perumahan yang diberikan secara sewa beli untuk mereka yang tidak mampu.

“Ataupun sekiranya diluluskan kelak, melalui 5 plot tanah ini, kita mungkin boleh bahagikan sebahagian menggunakan kaedah jualan dan sebahagian lagi kaedah sewa beli,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI