Tarikh tutup hantar laporan Anugerah Sekolah Hijau 2020 MBSP, 3 April – Datuk Bandar

BUKIT TENGAH – Sekolah rendah dan menengah yang mahu memburu kejuaraan dalam Anugerah Sekolah Hijau 2020 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diminta menghantar laporan berwajib sebelum tarikh tutup, 3 April 2020.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2020 di Dewan Terbuka, Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh (SKKS) di sini pada 13 Mac 2020.

“MBSP menetapkan sasaran untuk menjadi bandar raya rendah karbon pada tahun 2022, bandar raya neutral karbon pada tahun 2030 iaitu 10 tahun dari Januari 2020, dan menjadi bandar raya sifar karbon pada tahun 2050.

“(Sementara itu,) Program Anugerah Sekolah Hijau telah dilaksanakan dengan jayanya semenjak 2010 sehingga kini dan saban tahun, terdapat peningkatan dalam penyertaan daripada sekolah-sekolah,” jelasnya.

Guru Besar SKKS, Safuan Shuib; wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JPS) Pulau Pinang serta barisan Ahli Majlis MBPP turut sertai majlis pelancaran tersebut.

Rozali memberitahu bahawa angka penyertaan 30 sekolah dalam Anugerah Sekolah Hijau pada tahun 2010 telah meningkat kepada 166 sekolah pada tahun 2019.

Selain itu, Rozali turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana menaja hadiah-hadiah kepada pemenang anugerah pada kali ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Jinko Solar kerana sudi menaja dan memasang panel solar di sekolah yang menjadi johan Anugerah Sekolah Hijau.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS