LBSB suntik modal pelaburan RM15.6 juta di TPHPP

Admin
ROSLI Jaafar (kiri sekali) bertukar dokumen perjanjian bersama Fauzy Hyffny (kanan sekali) sambil diperhatikan Mansor Othman (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Taman Industri Halal Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Syarikat pengeluar produk halal, Leverage Business Sdn. Bhd. (LBSB) bakal menyuntik modal pelaburan bernilai RM15.6 juta bagi menubuhkan sebuah kilang pembuatan produk berasaskan galetin di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) Bukit Minyak baru-baru ini di sini.

Ini bermakna, LBSB merupakan syarikat pengusaha kesembilan bakal beroperasi di TPHPP menerusi satu perjanjian jual beli yang telah ditandatangani di antara LBSB dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

LBSB diwakili pengarahnya, Fauzy Hyffny manakala PDC, Datuk Rosli Jaafar. Fauzy berkata, bagi menambah nilai kepada produk sedia ada, LBSB juga bakal menubuhkan satu-satunya pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D Centre) dalam TPHPP.

“Dipasarkan dengan jenama ‘HILAL’, LBSB akan menambah nilai sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan bagi mengkhususkan kepada usaha penyelidikan gelatin bertujuan untuk memperbaiki formulasi dan kualiti produk.

“Malah, LBSB yang bakal dibina membabitkan kawasan seluas dua ekar turut akan bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk kerja saintifik bahan-bahan mentah,” ujarnya ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Jual- Beli Taman Industri Halal Pulau Pinang baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Pengerusi Halal Penang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, melalui strategi promosi dan pemasaran yang agresif, Halal Penang telah berjaya menarik 13 buah syarikat tambahan untuk melabur di sini.

“Halal Penang telah memperoleh pendedahan dalam rangkaian perdagangan dan pemasaran antara negara (cross-border marketing) dan berjaya menarik 13 buah syarikat lagi dengan nilai pelaburan RM115.29 juta.

“Kesemua mereka termasuk di dalam senarai menunggu untuk menubuhkan kilang dalam zon tanah baru seluas 40.5 ekar dan dijangka siap untuk pelabur pada tahun 2013,” ujarnya.

ROSLI Jaafar (kiri sekali) bertukar dokumen perjanjian bersama Fauzy Hyffny (kanan sekali) sambil diperhatikan Mansor Othman (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Taman Industri Halal Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
ROSLI Jaafar (kiri sekali) bertukar dokumen perjanjian bersama
Fauzy Hyffny (kanan sekali) sambil diperhatikan Mansor Othman
(dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim pada Majlis
Menandatangani Perjanjian Jual Beli Taman Industri Halal Pulau
Pinang di sini baru-baru ini.