Projek CSR 3 dalam 1 urai masalah trafik 10 tahun

Admin
JEJANTAS yang dinaikkan ketinggian dan keadaan lorong yang dilebarkan kepada tiga lorong.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBAN – Tiga dalam satu! Akhirnya, pengguna jalan raya Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (di Batu Uban) dari arah George Town – Bayan Lepas mampu menarik nafas lega apabila pusingan ‘U’ untuk ke pasaraya Tesco dan Green Lane di sini siap dibina di sini baru-baru ini.

Serentak itu, pelaksanaan projek tersebut turut membabitkan pelebaran jalan terhadap jajaran 800 meter menjadikan lebar keseluruhan (satu hala) kepada 3.5 meter (tiga lorong).

Malah, jejantas 25 meter asal juga telah dipanjangkan kepada 32 meter dan ketinggiannya dinaikkan dari 4.5 meter kepada 5.4 meter.

Dengan lengkapnya projek bernilai RM4 juta hasil sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat pemaju, IJM Land Corporation, ia bakal menguraikan masalah kesesakan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun sebelum ini dan juga sekali gus menamatkan ‘mimpi ngeri’ kira-kira 200,000 kakitangan bertugas di kawasan perindustrian Bayan Lepas di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dalam tempoh empat tahun memerintah, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) nekad menyelesaikan masalah kesesakan di laluan tiga lorong mengecil kepada dua lorong sebelum susur ke Jambatan Pulau Pinang yang menjadi igauan setiap pengguna di sini.

“Kini, ia telah dilebarkan kepada tiga lorong dan pusingan ‘U’ sepanjang 660 meter turut dibina kira-kira 500 meter dari lokasi pelebaran jalan yang bakal menjimatkan masa pengguna yang sebelum ini terpaksa menggunakan Bayan Mutiara,’’ katanya pada Majlis Perasmian Projek Pelebaran Jalan, Jejantas Baharu dan Pusingan ‘U’ di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerjaraya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

SALAH sebuah pengguna menggunakan pusingan ‘U’ yang siap dibina di sini baru-baru ini.
SALAH sebuah pengguna menggunakan pusingan ‘U’ yang siap dibina di sini baru-baru ini.

 

JEJANTAS yang dinaikkan ketinggian dan keadaan lorong yang dilebarkan kepada tiga lorong.
JEJANTAS yang dinaikkan ketinggian dan keadaan lorong yang dilebarkan kepada tiga lorong.