BAYAN LEPAS – Suasana muhibah dan semangat perpaduan jelas terpancar apabila kira-kira lebih 10,000 masyarakat berbilang kaum dari seluruh pelosok negeri hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee di SPICE Arena, petang tadi.
Dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menambah seri dalam majlis rasmi Kerajaan Negeri tersebut.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri, Datin Noraini Abd. Jalil; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Majlis dimulakan dengan persembahan bertenaga Pasukan Gendang 24 Musim daripada pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Phor Tay, kemudian, disusuli tarian abstrak kebudayaan yang mewakili kaum-kaum utama dalam negara oleh Euphoria Penang Modern Dance Ensemble dan 5678 Dance Studio.
Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyifatkan bahawa penganjuran acara tahunan berkaitan bukan sekadar keraian, malah merupakan manifestasi warga negeri dalam mempromosi kemajmukan budaya serta keharmonian kaum.
“Seperti tahun-tahun lepas, kita mensasarkan kehadiran seramai 10,000 orang, dan saya melihat sambutan kali ini lebih kurang sama, malah mungkin sedikit meningkat serta lebih hangat berbanding tahun lalu.
“Secara keseluruhannya, saya menganggap ini adalah sambutan Tahun Baharu Cina yang berjaya kerana ia mampu membawa semua rakyat berkumpul untuk saling menyokong serta memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan.
“Selalunya Pulau Pinang ‘memimpin’, dan saya berharap dari segi memupuk perpaduan, keharmonian, serta kesejahteraan masyarakat, kita dapat mempersembahkan satu tauladan dan contoh yang baik buat semua,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI