Lebih 10,000 sertai larian Saya Pulau Pinang tunjuk hak bersuara, demi rasa cinta kepada Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Lebih 10,000 berdaftar menyertai Larian, sejauh 6 kilometer (km) pada awal pagi 12 Mac lalu sebagai tanda bantahan pada hasrat seorang menteri yang mahu menjadikan negeri ini sebuah wilayah persekutuan baharu.

Menjelang jam 7 pagi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama-sama barisan kepemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang lain mendapat sorakan daripada hadirin pelbagai kaum di sini.

“Pada pagi ini bukan sekadar larian ria yang santai, malah untuk menunjukkan hak bersuara rakyat Malaysia bagi mempertahankan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri, rasa cinta pada negeri Pulau Pinang dan tanah air Malaysia.

“Walaupun kurang sebulan, larian ini menerima penyertaan lebih 10,000 orang, maka kita akan menganjurkan satu lagi larian ria ‘I Penang’ di Butterworth pada 9 April nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Hadir sama, semua Exco Kerajaan Negeri serta barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menurut penganjur, peserta termuda berdaftar adalah seusia 7 tahun dan yang paling tua, 77 tahun. Pelepasan sebanyak tiga peringkat disempurnakan oleh Guan Eng, mulai jam 7.25 pagi, 7.30 pagi dan 7.40 pagi.

“I Penang!” laung peserta di sini, lengkap berpakaian baju t putih tertera mesej ‘I Penang’ dan tema ‘Wow! Penang is Hot’.