Tapak baharu sekolah kanak-kanak istimewa, impian terlaksana selepas lebih 20 tahun

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Tanah seluas 1.373 ekar dekat Relau yang Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sumbang untuk pembinaan bangunan baharu sekolah kanak-kanak terencat akal adalah bernilai kira-kira RM17.7 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu perkara tersebut kepada Presiden Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang, Datuk Teh Cheng Lim dalam majlis pertemuan ringkas bersama-sama pemberita di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Guan Eng menyerahkan geran tanah yang baharu ditukar dari status komersial kepada pihak Cheng Lim.

“Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Datuk Keramat telahpun memberitahu Kerajaan Negeri mengenai hasrat ini, kerana sekolah khas untuk kanak-kanak terencat akal yang sedia ada di Datuk Keramat begitu sesak, dengan 85 kanak-kanak.

“Kerajaan Negeri sanggup menyumbang tanah yang begitu tinggi nilainya kerana sudah lebih 20 tahun persatuan ini menyimpan hasrat untuk membina sebuah bangunan baharu untuk kanak-kanak istimewa berkenaan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di sini baru-baru ini.

Selain Jagdeep, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; ADUN Air Itam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Naib Presiden Presiden Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang, Datuk Wong Siew Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ideal Property (IDEAL), Datuk Alex Ooi selaku wakil pemaju projek usahasama sekolah tersebut turut hadir pada majlis ringkas itu.

Hadir sama, seorang pemimpin veteran MCA Pulau Pinang, Teh Beng Yeam yang juga wakil persatuan tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Cheng Lim menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri serta komitmen IDEAL dalam merealisasikan projek pembinaan sekolah tersebut.

“Kami berterima kasih kepada kedua-dua pihak, IDEAL dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana membantu kami untuk merealisasikan impian kami selepas kira-kira 20 tahun,” jelas beliau.

Pada 16 Mei tahun lepas, Guan Eng bersama-sama Jagdeep mengumumkan hasrat menyumbang sebidang tanah untuk tujuan pembinaan projek itu, dengan IDEAL menawarkan diri sebagai kontraktor pemaju atas nama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

Menurut pelan pembangunan ketika itu, projek cadangan tersebut terdiri oleh bangunan dua tingkat dengan 22 bilik, dewan serba guna serta kantin, yang akan disiapkan dalam tempoh kira-kira setahun.

Ketika itu, Beng Yeam memuji pentadbiran Guan Eng kerana memberi surat milik tanah berkenaan untuk kegunaan persatuan.

“Persatuan kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih dengan memberi sanjungan kerana Tuan Lim Guan Eng (Guan Eng) merupakan ahli politik yang memahami dan menghayati maksud sebenar dalam kebajikan masyarakat.

“Disebabkan usaha sebegitu, Tuan Lim Guan Eng (Guan Eng) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya diberikan penghormatan secara tinggi,” ujarnya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, ketika itu.