Lebih 390,000 kg barangan kitar semula berjaya dikutip sejak pelaksanaan program Pengasingan Sisa di Punca – Jagdeep

Admin

BERAPIT – Sebanyak 395,878.3 kilogram (kg) barangan boleh dikitar semula berjaya dikutip Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak pelaksanaan program Pengasingan Sisa di Punca mulai 1 Jun 2016 sehingga 28 Februari lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan RM94,497.50 telah berjaya dikumpul oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Jagdeep meninjau bilik sampah di Pangsapuri Seri Jaya yang dilengkapi CCTV.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75,309.0kg atau bersamaan RM25,297.72 hasil dikutip oleh MBPP manakala sebanyak 320,568.4kg atau RM69,199.78 (MPSP),” katanya pada sidang media semasa meninjau tapak program Pengasingan Sisa di Punca dekat Pangsapuri Seri Jaya, di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; Setiausaha Perbandaran MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli Majlis Bagi MPSP, Chew Eng Seng; Pengurus Pangsapuri Seri Jaya, G. Jothi Jhen Hao serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu, sebanyak 735 kompuan telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dengan masing-masingnya sebanyak 91 kompaun bagi MBPP dan MPSP (644) berkaitan kesalahan melibatkan pengasingan sisa di punca dalam tempoh masa yang sama.

“Jumlah kompuan ini dikeluarkan selepas kedua-kedua PBT menyerahkan notis selepas menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman bertanah, kediaman bertingkat dan premis komersial,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jagdeep turut memuji inisiatif dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pangsapuri Seri Jaya dengan memasang sendiri kamera litar tertutup (CCTV) di tempat pembuangan sampah di pangsapuri berkenaan.

“Saya gembira kerana adanya inisiatif sendiri pihak pengurusan dengan meletakkan CCTV di bilik sampah untuk membuat pemerhatian terhadap mana-mana penduduk yang tidak memberikan kerjasama dalam menjayakan polisi Kerajaan Negeri.

“Ini sesuatu yang inovatif serta boleh dicontohi oleh pengurusan-pengurusan pangsapuri lain di negeri ini,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS