Lebih 30 institusi pengajian dan 8 TVET sertai Ekspo Pendidikan, JOM!

Admin

GEORGE TOWN – Peluang untuk para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi meneruskan pendidikan dalam bidang yang diingini dengan menyertai Ekspo Pendidikan dan TVET Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan berlangsung di Pasar Raya MYdin Bukit Mertajam.

 

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, ekspo berkenaan memberi peluang kepada lepasan SPM dan STPM memilih hala tuju pendidikan dan menceburi bidang jurusan yang diminati.

 

“Penganjuran ini merupakan kali ketiga dianjurkan dalam tempoh dua tahun iaitu semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2017 yang mana lazimnya ia diadakan sebelum keputusan SPM diumumkan.

 

“Ia adalah bertepatan dengan masa, malah memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa serta orang ramai untuk mencari peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat tertinggi.

 

“Terdapat lebih 30 institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta dalam negara terlibat dalam penganjuran kali ini, dan juga lapan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan turut serta,” ujarnya pada sidang media pengumuman penganjuran berkenaan di sini sebentar tadi.

 

Menurut Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi dan Inovasi seramai 421,706 pelajar mengambil peperiksaan SPM tahun lalu.

 

“Buat pertama kalinya, kita memperkenalkan TVET pada penganjuran kali ini di mana ianya sesuai untuk pelajar yang meminati latihan kemahiran bagi memenuhi pasaran Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.

 

Ekspo yang akan berlangsung  pada 23 dan 24 Mac ini, dari 11 pagi hingga 6 petang.