Lebihan kewangan RM138 juta Pulau Pinang diiktiraf jumlah tertinggi dalam sejarah negeri

EMPAT wakil jabatan yang menerima anugerah tertinggi empat bintang daripada Jabatan Audit Negara mempamerkan replika cek RM10,000 bersama-sama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri pada majlis penghargaan khas di sini baru-baru ini. Gambar oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN
EMPAT wakil jabatan yang menerima anugerah tertinggi empat bintang daripada Jabatan Audit Negara mempamerkan replika cek RM10,000 bersama-sama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri pada majlis penghargaan khas di sini baru-baru ini.
Gambar oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Laporan Ketua Audit Negara 2011 barubaru ini mengiktiraf Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memperoleh RM138 juta lebihan kewangan.

Jumlah itu sekaligus menunjukkan surplus Kerajaan Negeri meningkat sebanyak RM105 juta atau 312 peratus kepada RM138 juta berbanding tahun 2010 yang berjumlah RM33 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, lebihan surplus paling tinggi dalam sejarah negeri adalah hasil usaha gigih rakyat Pulau Pinang dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri.

Malah, katanya, pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus atau CAT Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) membolehkan surplus naik RM105 juta dalam setahun ke rekod RM138 juta berdasarkan kenaikan hasil dikutip yang naik RM192 juta atau 47 peratus daripada RM411 juta pada tahun 2010 kepada RM603 juta (2011).

“Surplus tersebut dapat dicapai sungguhpun perbelanjaan mengurus naik RM88 juta atau 23 peratus daripada RM377 juta pada 2010 kepada RM 465 juta (2011).

“Ini adalah lebihan surplus paling besar dalam sejarah Pulau Pinang dan inipun kali pertama kita pecah angka ( lebihan kewangan) melebihi RM100 juta,” ujar beliau baru-baru ini di Komtar, di sini.

Pentadbiran Guan Eng konsisten memperoleh lebihan kewangan sejak tahun 2008 yang berjumlah RM88 juta, diikuti, RM77 juta bagi tahun 2009.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz melalui kenyataan beliau dalam laporan Free Malaysia Today Online baru-baru ini yang mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengurusan kewangan baik negeri, khususnya dalam menaikkan kut ipan ha s i l sebanyak 47 peratus atau RM 192 juta.

Tambah Guan Eng, sungguhpun prestasi kewangan adalah yang paling baik dalam sejarah negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara dengan hati terbuka.

“Saya telahpun mengarahkan jawapan daripada semua jabatan berkenaan sekiranya ada kelemahan yang harus diperbaiki ataupun ada teguran audit yang tidak berasaskan fakta ataupun disebabkan oleh kesilapan pihak lain dan bukannya melibatkan Kerajaan Negeri,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri, di sini baru-baru ini turut memuji kepimpinan Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang mengamalkan sikap kepedulian terhadap rakyat.

“Pencapaian Pulau Pinang dari segi pengurusan perbelanjaan, kewangan dan hal-hal berkaitan kebajikan rakyat cukup membanggakan.

“Saya membuat lawatan ke sini hari ini untuk mengucapkan tahniah sendiri kepada Pulau Pinang di atas kejayaan serta prestasi cemerlang yang dicapai. Saya bangga jadi ahli parlimen dari Pulau Pinang,” kata Anwar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mengumumkan pemberian saguhati kepada empat Jabatan di bawah Kerajaan Negeri yang diiktiraf cemerlang serta menerima anugerah tertinggi empat bintang daripada Jabatan Audit Negara.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan Kewangan Negeri (JKN), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) masing-masing menerima saguhati RM10,000 daripada Kerajaan Negeri.

Guan Eng berkata, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi saguhati RM15,000 kepada mana-mana jabatan berwajib yang berjaya mendapat pengiktirafan yang sama daripada Jabatan Audit Negara bermula tahun depan.

“Mulai tahun depan, Kerajaan Negeri akan beri RM15,000 sebagai galakan kepada semua jabatan untuk berusaha mencapai empat bintang,” ujar beliau.

Selain Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh dan Law Choo Kiang, Wong Hon Wai serta Danny Law Heng Kiang antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir pada sidang media tersebut.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri) dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang Dipertua MAINPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir).