Wang AAPB akan diguna bina rumah mampu milik

GEORGE TOWNUMNO dan akhbar perdana, Utusan Malaysia (Utusan) terperangkap dengan fitnah jahat dan permainan perkauman apabila mempersoalkan Kerajaan Negeri tidak menggunakan Akaun Amanah Perumahan Bumiputera (AAPB) sebanyak RM33.6 juta untuk membina 10,000 rumah kos rendah dan mampu milik sebaliknya laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa akaun amanah tersebut meningkat 58 peratus kepada RM33.6 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dituduh bahawa tidak menubuhkan akaun amanah sedemikian (AAPB) untuk membantu membina rumah untuk orang Melayu/bumi.

Namun, tegasnya, apabila fitnah tersebut dibuktikan kini, tiada pihak yang memohon maaf, sebaliknya memutarbelit fakta mendakwa bahawa Kerajaan Negeri menganiayai orang Bumi dan Melayu dengan tidak menggunakan wang tersebut untuk membina rumah mampu milik.

Fitnah jahat berkenaan mempermainkan ideologi perkauman untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat dan mengancan pemimpin Kerajaan Negeri, khususnya beliau sebagai Ketua Menteri.

“Sekiranya Kerajaan Negeri menggunakan wang akaun amanah (AAPB) terdahulu, akan datang pula tuduhan jahat Utusan dan UMNO bahawa Kerajaan Negeri tidak mahu menggunakan wang sendiri untuk membina rumah mampu milik sebaliknya guna wang bumi.

“Maka untuk mengelakkan tuduhan sedemikian, wang Kerajaan Negeri digunakan dahulu. Lagipun wang akaun amanah tidak mencukupi kerana untuk membina 350 unit rumah kos sederhana rendah, kos pembinaan tanpa kira kos tanah adalah menjangkau RM35 juta,’’ katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Pulau Pinang dan Pengerusi PERDA,cDatuk Azhar Ibrahim menyelar Kerajaan Negeri tidak mahu menggunakan wang akaun RM33.6 juta untuk membina 10,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik.

Tambah Guan Eng, fitnah jahat Utusan dan UMNO terserlah dengan kenyataan Azhar yang tidak masuk akal.

“Ini bermakna hanya perlu RM 3,360 untuk membina sebuah unit! Saya ingin melihat PERDA bina rumah kos rendah dan mampu milik dengan kos RM 3,360 seunit – mustahil dilakukan,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Negeri memberi jaminan akan menggunakan wang AAPB untuk membina rumah mampu milik.

“Ia akan dibukti dengan rumah pangsa dan bukan dengan kata.

“Kerajaan Negeri akan menepati janji bukan macam Barisan Nasional (BN) yang masih belum menepati janji yang dibuat 28 tahun dahulu untuk membina rumah kelamin bagi anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Bertam, Kepala Batas.

“Mengapakah UMNO, Utusan dan Azhar tidak mempersoalkan apakah faedah kepada angkatan tentera dan negara kalau 330 tanah yang diambilalih tidak digunakan untuk membina rumah kelamin, tetapi disewa hanya dengan harga RM7,000 sebulan?,’’ soal Guan Eng.

Sungguhpun tanggungjawab kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik, namun, Kerajaan Negeri telah mencatatkan rekod dengan memperuntukkan RM500 juta untuk membina rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang termasuk di kawasan pulau.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjaya membina 4,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dengan 8,000 unit lagi disumbangkan pihak swasta menjadikan keseluruhan berjumlah 12,000 unit.