Legasi keluarga bantu hasil durian berkualiti, Durian Kaki miliki pensijilan halal

Admin
6b28d9f2 702f 4de0 b1e2 84264bb8b474

 

KEJAYAAN durian varieti Raja Kunyit dan Kulit Hijau muncul juara pada Pesta Durian Pulau Pinang 2026 baru-baru ini membuktikan bahawa pengalaman serta legasi penanaman durian secara turun-temurun terus menjadi kekuatan utama pengusaha Durian Kaki di Relau (Jalan Paya Terubong).

f10e5185 a3de 4158 9f68 1c8977cb3946Bagi pengusaha durian generasi ketiga, TAN CHEE KEAT, 36, kemenangan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap kualiti buah, malah menjadi penghargaan kepada usaha keluarganya yang telah membangunkan kebun durian sejak beberapa dekad lalu.

“Keluarga kami bermula dengan kebun getah sebelum datuk mula menanam pokok durian kampung.

“Kemudian ayah saya, Tan Eow Chong, mengembangkan kebun ini sekitar tahun 1960-an dengan menghasilkan pelbagai varieti yang ‘dikahwinkan’.

c249f461 46e3 4e0f 96bf 36603303d73b

“Pada era 1980-an, ayah berjaya mendapatkan benih Raja Kunyit dari Kelantan untuk ditanam di sini sebelum menjalankan proses kacukan dengan pokok lain.

“Benih itu diperoleh daripada seorang ustaz di sana.

“Raja Kunyit milik keluarga kami juga pernah mendapat liputan akhbar antarabangsa, The New York Times.

393a170c 19c1 42e0 981d 398f05a1c78f 1d3a6373 ca6c 4794 af34 fbffd7126d82

“Saya pula mula serius membantu keluarga dalam perniagaan durian sejak berusia 18 tahun,” ujar Chee Keat ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFI dan jurugambar, SIEW CHIA EN di premis Durian Kaki, Relau.

Tambah Chee Keat, suatu ketika dahulu varieti yang kini dikenali sebagai Musang King lebih popular dengan nama Raja Kunyit, malah keluarganya merupakan antara perintis yang memperkenalkan varieti tersebut di Pulau Pinang.

“Dulu orang lebih mengenalinya sebagai Raja Kunyit.

“Ketika mula dibawa masuk, baka itu belum ada di Pulau Pinang dan kami antara generasi terawal yang membangunkan varieti ini, atau boleh dikatakan ‘bapa kepada bapa Musang King’,” katanya.

Kebun keluarga di Balik Pulau kini meliputi lebih 40 hektar dengan kira-kira 200 pokok durian pelbagai varieti, termasuk Raja Kunyit, Kulit Hijau, Hor Lor dan Cenderawasih.

Menurut beliau, pokok durian yang berusia lebih 40 tahun lazimnya menghasilkan buah dengan isi lebih halus, kurang berserat serta mempunyai keseimbangan rasa yang lebih baik.

“Pokok yang matang biasanya menghasilkan buah yang lebih berkualiti.

“Sebab itu ada pokok Musang King kami yang ditanam sejak awal 1980-an masih mengeluarkan hasil yang sangat berkualiti sehingga hari ini,” jelasnya.

Selain Raja Kunyit, seorang lagi wakil keluarga, TAN CHEE WEI, 42, turut membawa pulang gelaran juara bagi kategori Kulit Hijau.

Chee Keat berkata, keluarganya juga pernah memenangi pelbagai pertandingan durian sejak penghujung 1990-an dan awal tahun 2000-an, sekali gus membuktikan konsistensi mereka dalam menghasilkan buah berkualiti tinggi.

img 2991

“Pada waktu itu, buah kami turut menjadi pilihan mantan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas.

“Rezeki pertandingan juga bergantung pada buah yang gugur pada masa yang tepat.

“Kebetulan buah terbaik gugur ketika musim pertandingan, jadi kami terus memilihnya untuk dihantar bagi tujuan penilaian.

“Selain di Pulau Pinang, durian dari dusun kami juga pernah memperoleh kedudukan yang baik dalam pertandingan di Kuala Lumpur,” katanya.

Walau bagaimanapun, faktor pembungkusan dan tempoh penghantaran ke lokasi yang jauh menjadi kekangan utama untuk menyertai lebih banyak pertandingan di luar Pulau Pinang.

Mengulas mengenai penjagaan kebun, beliau berkata pembajaan, sistem saliran dan kesihatan pokok memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti buah sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kalau pokok terlalu lembap, ia mudah diserang penyakit seperti kanser batang.

“Kami turut menggunakan baja yang sesuai, termasuk baja berasaskan ikan, bagi memastikan pokok kekal subur.

“Baja semula jadi lebih baik yang mana pembajaan juga perlu mengikut peringkat pertumbuhan pokok.

“Musim baharu, musim berbunga dan ketika menguatkan pokok memerlukan jenis baja yang berbeza. Jika tersalah menggunakan baja, hasil dan kualiti buah akan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebahagian hasil durian keluarganya turut dieksport ke China, Australia dan New Zealand melalui rumah pembungkusan yang memiliki pensijilan halal serta mematuhi Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Pensijilan halal bukan sahaja penting untuk pengguna Islam, malah meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan produk.

“Ia memberi nilai tambah kepada durian keluaran Malaysia di pasaran eksport.

“Jangan terkejut jika pemborong di China lebih mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal kerana mereka yakin terhadap kualitinya.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, ada buah yang tidak mempunyai pensijilan halal kurang memenuhi standard eksport, malah ada juga kes buah yang dihantar tidak menepati varieti yang dijanjikan,” jelas Chee Keat.

Beliau berkata, cabaran mengurus kebun durian juga tidak terlepas daripada gangguan haiwan perosak seperti monyet dan tupai.

Antara langkah yang diambil ialah meletakkan ular plastik bersaiz besar di sekitar kebun sebelum memasang sistem bunyi selepas haiwan tersebut mula tidak lagi takut.

“Lama-kelamaan mereka sudah tidak takut kepada ular plastik, jadi kami memasang sistem bunyi yang kuat di kebun untuk mengurangkan gangguan.

“Selain itu, ancaman kecurian juga menjadi cabaran.

“Buah perlu dikutip seawal pagi kerana jika datang lewat, kemungkinan besar buah sudah tiada.

“Faktor cuaca juga menjadi cabaran utama kerana boleh mengakibatkan buah gugur lebih awal,” katanya.

Menyentuh mengenai masa depan industri durian Pulau Pinang, Chee Keat berkata negeri ini mempunyai lebih 200 varieti durian berdaftar, sekali gus menjadikannya antara negeri yang paling kaya dengan kepelbagaian klon durian.

78b0a3e4 64e5 4bdb a65c a41cf65b38ecBeliau turut perkenalkan varieti Cenderawasih yang dibangunkan keluarganya dengan isi berwarna merah jambu sebagai usaha memperkayakan lagi pilihan durian tempatan.

“Kami sentiasa berpegang pada satu prinsip, iaitu menanam durian supaya semua orang dapat menikmatinya. Sebab itu Cenderawasih dijual pada harga yang berpatutan dan rasanya juga enak.

“Sejak dahulu lagi, ayah akan membawa pulang durian dan kami sekeluarga menikmatinya bersama-sama di satu meja. Itulah semangat yang kami mahu kekalkan sehingga hari ini,” katanya.