Legasi perniagaan songkok tertua kekal dipelihara generasi baharu

Admin
d4084869 1403 4e75 9c09 0e2436f72227

DI sebalik arus pemodenan dan perubahan gaya hidup, sebuah kedai songkok warisan di negeri ini kekal teguh mempertahankan seni pembuatan tradisional yang telah bertapak sejak hampir satu abad.

Kedai Songkok OSM Mohamed Shariff kini dikenali sebagai antara yang tertua dan terakhir masih aktif menghasilkan songkok secara tradisional di Pulau Pinang, sekali gus menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.

3501585e c0c1 4adb 93e8 8526113b2f00

Bagi ABDUL KADER MOHAMED MYDIN, 50, perniagaan yang diusahakan bukan sekadar mencari rezeki, sebaliknya menjadi amanah untuk memastikan warisan keluarga terus terpelihara.

“Alhamdulillah, kedai ini sering dipromosikan oleh agensi pelancongan melalui pelbagai medium termasuk risalah, majalah dan juga platform antarabangsa seperti di Singapura.

“Malah, ramai yang datang bukan sekadar untuk membeli, tetapi juga melihat sendiri proses pembuatan songkok,” ujarnya yang telah berkecimpung dalam perniagaan tersebut selama dua tahun.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, dan jurugambar, MUHAMMAD IQBAL HAMDAN pada 15 April 2026.

Menurut Abdul Kader, songkok baldu kekal menjadi pilihan utama pelanggan, merangkumi kira-kira 90 peratus daripada jumlah jualan.

“Pada masa sama, kami turut menawarkan variasi lain seperti tarbus, alijinnah dari Pakistan serta karzi dari Afghanistan yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

“Kita juga turut mengikut trend semasa. Ada pelanggan mahukan songkok tinggi sekitar tiga hingga tiga setengah inci dan ada juga yang memilih gaya rendah atau rata yang kini semakin popular,” jelasnya.

Dari segi harga, Abdul Kader memaklumkan bahawa songkok yang dijual masih dalam kategori mampu milik dengan kebanyakan produk berharga bawah RM60, bergantung kepada jenis dan rekaan.

“Songkok yang kami tawarkan masih pada harga mampu milik supaya semua lapisan pelanggan boleh mendapatkan songkok berkualiti mengikut pilihan masing-masing.

“Manakala saiz yang ditawarkan pula merangkumi saiz bayi, kanak-kanak hingga dewasa bagi memenuhi keperluan pelanggan pelbagai peringkat umur,” tambahnya.

Mengulas mengenai permintaan, Abdul Kader berkata musim perayaan Aidilfitri kekal menjadi tempoh paling sibuk dengan tempahan meningkat dengan mendadak, selain permintaan untuk majlis perkahwinan dan kegunaan rasmi.

“Musim Aidilfitri kekal menjadi tempoh paling sibuk bagi kami apabila tempahan meningkat dengan ketara berbanding Aidiladha.

“Dari segi ketahanan, songkok keluaran kami mampu bertahan sehingga dua tahun dengan penjagaan yang baik,” ujarnya.

c4b4bd61 ee2a 4e39 93a9 bf84e65dde18379e0751 4d3a 4fa0 aa09 74a6de37e5b8
Tambahnya lagi, mereka yang berkunjung ke premis Kedai Songkok OSM Mohamed Shariff kebanyakannya adalah pelanggan tetap, ada yang datang dari generasi ke generasi.

“Selain pembelian secara fizikal, tempahan turut diterima dari luar Pulau Pinang melalui pos, selain pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian seperti di aplikasi Shopee,” katanya sambil memaklumkan kebanyakannya masih memilih untuk datang secara ‘walk-in’.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Abdul Kader menjelaskan bahawa mereka tidak bercadang membuka cawangan baharu buat masa ini kerana mahu mengekalkan kualiti serta fokus kepada operasi sedia ada.

“Kami kini mula memperkenalkan pembungkusan sendiri sebagai langkah penjenamaan.

“Sebagai usaha menambah baik perkhidmatan, kami turut menjalankan pengubahsuaian premis bagi membolehkan pelanggan mencuba secara terus selain dapat menunggu dalam keadaan selesa.

“Beberapa mesin juga telah dipindahkan ke dalam premis bagi memudahkan operasi harian,” jelasnya lanjut.

724123b9 5b89 47b0 9002 b07451fdb97b
Sementara itu, tokoh veteran perniagaan tersebut, HAJA MOHIDEEN MOHD. SHARIFF, 79, atau lebih mesra disapa sebagai “Mamu”, berkongsi bahawa perusahaan tersebut diasaskan oleh bapanya sejak tahun 1936 dan terus diwarisi hingga kini.

“Saya belajar buat songkok dengan melihat bapa sejak kecil dan sekarang sudah lebih 60 tahun saya dalam bidang ini,” katanya.

Menurut beliau, proses menghasilkan sebuah songkok memerlukan ketelitian tinggi dan boleh mengambil masa antara satu setengah hingga dua jam untuk disiapkan sepenuhnya.

“Kalau musim perayaan, memang tidak menang tangan, kadang-kadang terpaksa tolak tempahan sebab tidak sempat siap.

“Jika bukan pada musim perayaan, tempahan agak perlahan, jadi kita lebih menumpukan tempahan rasmi seperti majlis perkahwinan, selain pelanggan yang membuat tempahan untuk kegunaan tertentu,” jelasnya.

61bd6122 f747 4444 b824 a0f30f4b284e ff57d2c4 71ce 4fa9 882e 73a45cec4d55
Mamu turut mengakui cabaran utama industri ini adalah kekurangan tenaga kerja muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran tersebut, selain peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada kuasa beli pelanggan.

“Antara cabaran utama sekarang ini ialah kurangnya anak muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran ini, ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kuasa beli pelanggan.

“Apa yang penting, saya berharap warisan pembuatan songkok ini terus kekal dan tidak hilang ditelan zaman, supaya generasi akan datang masih dapat mengenali serta menghargai kemahiran tradisi ini,” katanya menutup bicara.