Lepas benih udang galah, ikan baung lestarikan perikanan darat – Exco

NIBONG TEBAL – Bagi menjamin bekalan hasil perikanan darat di masa hadapan, satu program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Serentak Seluruh Negara telah dijalankan dekat Pangkalan Taman Ilmu, Nibong Tebal semalam.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata, program anjuran Jabatan Perikanan Malaysia  (FIDTEC) melepaskan benih udang galah dan ikan baung.

“Sebanyak 100,000 benih udang galah dan 32,000 benih ikan baung telah dilepaskan di Sungai Kerian bertujuan melestarikan sumber perikanan darat yang mapan serta mencapai keseimbangan biodiversiti.

“Di samping itu, usaha murni ini juga dijalankan bagi memenuhi permintaan dan ekspetasi bukan sahaja dari umum, malahan juga kumpulan sasar serta kepimpinan negara,” ujar Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

NORLELA (tengah) semasa sesi sidang media yang dijalankan baru-baru ini.

Turut hadir, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; Pengarah FIDTEC, Dr. Erniyta Binti Osman; Urusetia Program Cawangan Perlesenan Negeri FIDTEC, Khairunnisa Anuar dan wakil-wakil ketua jabatan serta nelayan-nelayan sekitar Seberang Perai Selatan (SPS).

Mengulas lanjut, Norlela memaklumkan, Klinik Enjin Sangkut turut diadakan bagi memberi pendedahan terhadap nelayan di sekitar kawasan itu.

“Demonstrasi enjin sangkut yang telah diadakan ini bertujuan untuk nelayan berupaya melakukan penyelenggaraan enjin sangkut sendiri seperti servis karburator, menukar minyak dan lain-lain lagi.

“Bukan itu sahaja, nelayan juga diberi penerangan tentang cara menggunakan alat atau Global Positioning System (GPS) dan echo sounder disertakan penggunaan mengikut manual,” jelasnya lagi.

Norlela sebelum itu turut berkongsi mengenai perangkaan FIDTEC pada tahun-tahun sebelumnya hingga kini serta spesies ikan yang telah dilepaskan.

“Pada tahun 2016 hingga 2021, direkodkan sebanyak 2.4 juta ekor benih ikan dan udang bernilai RM353,000 telah dilepaskan, yang mana sebanyak 179,820 kilogram (kg) ikan air tawar bernilai RM3.56 juta telah didaratkan oleh nelayan.

“Sumber perikanan darat ini terdiri dari pelbagai spesis ikan air tawar seperti udang galah, baung, lampam sungai, sebarau, terbul, patin, temoleh, kelah dan tengalan di tiga sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Kerian, Sungai Prai dan Sungai Muda,” tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu menekankan pelepasan ikan dan udang tersebut mampu menjadi punca rezeki untuk 332 nelayan yang terlibat.

DEMONSTRASI penyelenggaraan enjin sangkut yang dibimbing oleh FIDTEC Gelugor.

Dalam sesi yang sama, Khairunnisa memaklumkan nelayan yang turut serta memperoleh pengalaman yang berharga serta boleh digunakan pada masa hadapan.

“Setelah selesai sesi demonstrasi, saya dapati para nelayan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang komponen enjin sangkut dan cara penyelenggaraan.

“Mereka turut memberi maklum balas tentang kos pembelian alat navigasi yang agak mahal di pasaran, tetapi disebabkan ia memudahkan mereka tampak lebih berminat,” katanya lagi.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: FIDTEC