Letak pam mudah alih langkah sementara atasi banjir Kampung Naran

BATU MAUNG – Pihak kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meletakkan tiga pam mudah alih berhampiran tapak projek Rumah Pam Kampung Naran sebagai langkah membendung kejadian banjir kilat.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata ini berikutan banjir yang berlaku di Kampung Naran semalam dipercayai akibat pembinaan struktur rumah pam berkaitan.
“Pihak JPS telah kenal pasti perkara ini dan akan menambah baik serta laksanakan segera dengan meletakkan pam mudah alih (berhampiran Lintang Bayan Lepas 6) sebagai kaedah sementara musim hujan berhampiran kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Kampung Naran.
“Untuk itu, projek pembinaan tembok banjir juga ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengorekan mendapan lumpur yang juga dikatakan sebagai punca aliran keluar menjadi tidak lancar.
“Saya difahamkan pembinaan struktur rumah pam ini akan siap pada bulan hadapan dan kita harap apabila struktur siap, maka aliran air akan kembali lancar.
“Keseluruhan projek (temasuk skru pam dan motor) dijangka siap tahun 2024” ujar Zairil ketika melawat ke tapak projek rumah pam Kampung Naran di sini tengah hari tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Hussain, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Timbalan Pengarah (Sungai dan Pantai) JPS Pulau Pinang, Ooi Soon Lee.
Pada 15 dan 16 Oktober lepas, hujan lebat akibat perubahan monsun telah menyebabkan beberapa buah rumah di Kampung Naran dinaiki air.
Abdul Halim dalam pada itu memberitahu bahawa penilaian oleh pihaknya sedang dilakukan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa banjir yang terlibat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD