Sidang DUN diteruskan 4 November ini – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tetap diteruskan pada 4 November ini sebagaimana yang dijadualkan, dan akan ditangguhkan selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.

“Saya akan bentangkan cadangan kepada Mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk meneruskan sidang DUN mulai 4 November ini kerana segala notis sudahpun dikeluarkan.

“Kita cadangkan supaya sidang DUN diteruskan sehingga selesai sesi soal jawab dan ditangguhkan selepas hari pembuangan undi, tetapi tarikh (sidang akan bersambung) akan ditetapkan mengikut tarikh yang diumumkan oleh SPR.

“Hal ini supaya kakitangan dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam persiapan PRU sebagai petugas yang dilantik oleh SPR dapat memfokuskan kepada kelangsungan PRU tanpa dibebani dengan tugasan di DUN,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengambil bahagian dalam PRU15 bagi memastikan pengundi menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri turut meluahkan rasa terkilan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir baru-baru ini.

Memetik laporan media, Musa mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menggunakan isu banjir sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pilihan raya peringkat DUN serentak dengan PRU15.

Beliau yang juga pengerusi Umno Pulau Pinang dilapor turut mencabar PH yang mentadbir negeri Pulau Pinang untuk tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen pada PRU kali ini jika benar-benar serius dengan keselamatan rakyat.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang amat sombong dan tidak sensitif terhadap sebarang kemungkinan yang rakyat terpaksa hadapi sekiranya berlaku bencana banjir.

“Hal ini tidak perlu diungkitkan lagi kerana pembubaran Parlimen sudah menjadi kenyataan, dan seperti yang saya kata kita (PH) akan fokus kepada pertarungan untuk kerusi-kerusi di kawasan Parlimen,” tegasnya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa PH menjadikan alasan banjir untuk membohongi rakyat, Kon Yeow sekali lagi menegaskan bahawa amaran mengenai berlakunya banjir dikeluarkan sendiri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan bukannya pihak pembangkang.

“Tengok sajalah banjir berlaku atau tidak… kita bukannya tuhan. Ini merupakan amaran tegas daripada MetMalaysia iaitu sebuah agensi Kerajaan Persekutuan yang berwibawa.

“(Dan) sekarang banjir sudahpun berlaku di beberapa kawasan… mereka juga adalah pihak sama yang akan mengkritik Kerajaan Negeri sekiranya berlaku banjir kilat di negeri ini,” selar beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN