Lihat potensi tanah hak milik tidak terang sebagai pembangunan dan hasil – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melihat potensi lot-lot tanah hak milik tidak terang sebagai tujuan untuk menjalankan pembangunan dan menjana hasil kepada negeri.

 


Menurut Kon Yeow, bagi tujuan pembangunan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kini dalam proses semakan tanah hak milik tidak terang melalui task force yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

 

 

“Difahamkan, kewujudan lot-lot tanah hak milik tidak terang adalah didorong oleh beberapa perkara seperti rampasan kerana gagal menjelaskan cukai tanah, malah ada juga disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap, kalau tidak ada bukti tanah itu milikan sesiapa, maka ia akan menjadi status hak milik tidak terang.

 

 

“Tanah berkaitan akan jadi hak milik kerajaan kerana tidak ada geran dan bukti hak milik, justeru sebelum gunakan tanah ini, kita perlu pastikan ia benar-benar adalah tanah kerajaan dan barulah kita boleh umumkan sesuatu projek.

 

 

“Sehingga kini, jumlah tanah hak milik tidak terang yang dikenal pasti adalah agak tinggi, dengan ini, PTG sedang menyediakan senarai tanah-tanah tersebut untuk menentukan kesesuaian bagi pelaksanaan projek-projek infrastruktur, perumahan dan sosial,” ujarnya dalam sidang media sejurus Majlis Anugerah Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Tahun 2023 di sini sebentar tadi.

 

 

Sementara itu, Kon Yeow turut mengulas mengenai garis panduan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenai sewan jangka pendek seperti rumah inap atau homestay dalam sesebuah komuniti.

 

 

“Ini adalah terpulang kepada perbadanan pengurusan (MC) untuk dasar ini dikuat kuasakan dan mereka boleh laporkan (kepada pihak berkuasa) apabila ianya (peraturan) tidak dipatuhi.

 

 

“Sebab ia agak sukar untuk dikuat kuasakan oleh pihak berkuasa, pihak pengurusan ada tanggungjawab untuk memastikan unit-unit dalam projek mereka tidak melakukan kegiatan (homestay) melepasi garis panduan ditetapkan oleh MBPP,” ulasnya lanjut.

 

 

Mengenai kritikan yang disuarakan oleh pengendali sewaan jangka pendek dalam talian dan aplikasi, Kon Yeow meminta pemberita untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING