Lihat senario pembentangan awal Bajet 2023 Persekutuan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pembentangan Bajet  2023 negeri Pulau Pinang akan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada pertengahan November ini sekiranya tiada pembubaran awal Parlimen dilakukan maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

Menurut beliau, kini terlalu banyak ketidakpastian sehingga menyebabkan Kerajaan Pusat dijadualkan untuk mengawalkan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

 

“Bagi negeri Pulau Pinang, (pembentangan) Bajet (2023) sudah pun ditetapkan pada pertengahan November (2022) dan sekiranya tidak dibubarkan, Bajet negeri akan masih ikut jadual yang ditetapkan iaitu pada pertengahan November.

 

“Kita akan lihat apakah senario itu, beliau (Perdana Menteri) boleh bentang dan bubar serta merta, itu saya rasa tidak mungkin, beliau boleh bentang dan memberikan masa untuk bahas sampai diluluskan, sampai dibawa ke Dewan Negara, diluluskan, masa itu beliau boleh bubar.

 

“Jadi, saya rasa jadual negeri tidak berkaitan dengan Persekutuan melainkan ia (Parlimen) dibubarkan setelah pembentangan, itu negeri perlu buat keputusan sama ada untuk bubar atau tidak,” ujarnya pada sidang media sejurus merasmikan Kejohanan E-Sport ❤️PENANG di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sekiranya pembubaran berlaku sebaik sahaja pembentangan Bajet 2023, ia bakal mengulangi sejarah 1999 yang mana pembubaran Parlimen berlaku ketika itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum bajet diluluskan.

 

“Pada tahun berkenaan, bajet dibentang semula setelah PRU diadakan sehingga perbahasan bajet itu berlarutan hingga bulan Januari (tahun 2000), itu amat luar biasa.

 

“Sekiranya dibubarkan juga, ia akan mengulangi apa yang berlaku pada tahun 1999, ia perlu dibentang semula juga.

 

“Mungkin orang yang merancang itu ingin menggunakan bajet bagi menyampaikan berita-berita baik untuk dasar-dasar kewangan, ada insentif, pemasuhan cukai dan pelbagai ‘buah tangan’ bertujuan untuk mempengaruhi pengundi-pengundi, tetapi saya percaya permasalahan negara tidak boleh diselesaikan melalui kaedah-kaedah sedemikian sahaja,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Kon Yeow dalam pada itu juga percaya bahawa pergolakan dalaman politik turut menjadi faktor kepada perubahan pembentangan Bajet 2023 hingga menyebabkan Perdana Menteri mengambil tindakan luar jangkaan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR