Lima atlet menang pingat emas Sukan SEA terima SKIMAS, SYABAS!

Admin

GEORGE TOWN – Lima atlet negeri yang menyertai kontinjen negara ke temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-31 di Hanoi, Vietnam pada pertengahan bulan Mei lepas dan berjaya membawa pulang pingat emas, masing-masing menerima Insentif Kemenagan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pencapaian barisan atlet negeri tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, bahkan sekali gus mengharumkan nama Pulau Pinang.

“Para atlet Pulau Pinang telah berjaya menyumbang sebanyak enam pingat emas daripada 39 pingat emas yang dirangkul kontinjen negara.

“Dan, pada hari ini kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) meraikan mereka dalam Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) membabitkan jumlah sumbangan berjumlah RM27,000,” jelasnya dalam sidang media di sini pada 8 Julai 2022.

Turut serta, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa beliau berharap pemberian insentif tersebut dapat menyemarakkan lagi semangat semua untuk memburu kemenangan dalam kejohanan-kejohanan lain.

Ooi Tze Liang yang memenangi dua pingat emas dalam acara akuatik terjun 3 meter papan anjal seirama lelaki dan acara akuatik terjun 1 meter papan anjal lelaki menerima insentif SKIMAS keseluruhan sebanyak RM9,000.

Rachel Yeoh Li Wen yang turut membawa pulang dua pingat emas bagi acara gimnastik artistik individu palang bertingkat dan acara gimnastik artistik individu batang titian turut membawa pulang insentif berjumlah RM9,000. Sebagai tambahan, Li Wen turut menerima pengiktirafan sebagai ‘Atlet Terbaik Wanita’ Kontinjen Malaysia pada temasya berkaitan.

Memperoleh pingat emas bagi acara snooker 6-red individu lelaki, Lim Kok Leong menerima insentif bernilai RM6,000.

Manakala S. Geerijaieswaran Pillai dan Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik yang memenangi pingat emas acara Karate Kumiti lelaki berpasukan masing-masing membawa pulang insentif SKIMAS sebanyak RM1,500.

SYABAS!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI