Lima maahad tahfiz terpilih terima sumbangan SKM Pulau Pinang

TELUK BAHANG – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang menyerahkan sejumlah 25 unit rehal, dua unit kipas meja dan dua unit kipas industri untuk kegunaan guru dan pelajar di Maahad Tahfiz Darul Rahmah Wal’Adnaniah dekat sini.

 

Pengarah SKM Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh berkata, serahan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat suruhanjaya tersebut melalui Program Jalinan Masyarakat Berkoperasi Pulau Pinang 2020.

 

“Penyerahan ini adalah berdasarkan keperluan maahad tersebut, setelah pihak kami menerima makluman berkaitan.

 

“(Dan) penyerahan ini termasuk kos pemasangan yang ditanggung oleh SKM Pulau Pinang,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sejurus majlis serahan di sini semalam.

 

Turut sama hadir, Timbalan Pengarah SKM Pulau Pinang, Shahrizan Abdullah dan Pengetua Maahad Tahfiz Darul Rahmah Wal’Adnaniah, Aznan Ahmad.

 

Mengulas lanjut, Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya telah memilih lima buah maahad tahfiz untuk dibekalkan dengan keperluan semasa tahun ini.

 

“Selain maahad tahfiz di sini, kita ada empat lagi maahad tahfiz iaitu di Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Kubang Semang,” katanya.

 

 

Difahamkan, Maahad Tahfiz Darul Rahmah Wal’Adnaniah menempatkan 40 orang pelajar berusia dari 8 hingga 17 tahun yang mengikuti kelas hafazan Al – Quran bersama-sama empat tenaga pengajar.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI