Lintasan pejalan kaki Jln. Angsana elak kemalangan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


PAYA TERUBONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berharap pemasangan lintasan pejalan kaki di Jalan Angsana, di sini yang siap sepenuhnya baru-baru ini mampu meningkatkan mutu keselamatan hidup rakyat setempat.

Menurut beliau, projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menelan belanja RM95,820 peruntukan Kerajaan Negeri.

“Jalan lebar dan warga emas susah nak lintas jalan utama ini. Maka, JKR buat projek ini, tapi, Kerajaan Negeri bayar (keluarkan peruntukan).

“Orang awam menghadapi kesulitan untuk melintas jalan tersebut disebabkan aliran lalulintas yang begitu tinggi (laju),” ujar beliau pada sidang media khas di sini baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, hasil tinjauan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendapati, purata pejalan kaki melintasi jalan utama itu sebelum ini adalah kira-kira 100 orang bagi tiap-tiap jam.

Ini kerana, katanya, projek pembangunan baru serta wujudnya hospital kerajaan di sini sejak beberapa tahun belakangan ini mengakibatkan bilangan pelintas jalan tersebut kian meningkat.

Itu, tidak termasuk kewujudan lapan blok dan 14 blok rumah mampu milik rakyat di kedua-dua belah Jalan Angsana tersebut.

Ekoran itu, katanya lagi, tidak hairanlah sekiranya ada satu kes kemalangan jiwa membabitkan seorang wanita berlaku di jalan utama itu sebelum lintasan pejalan kaki berwajib siap dipasang.

Kerajaan Negeri melalui JKR memulakan projek cakna keselamatan komuniti itu pada Oktober tahun lepas.

LINTASAN pejalan kaki di Jalan Angsana yang siap sepenuhnya di sini baru-baru ini.
LINTASAN pejalan kaki di Jalan Angsana yang siap sepenuhnya di sini baru-baru ini.