Liow Tiong Lai tak layak pantau Lynas, kata Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Datuk Seri Liow Tiong Lai dianggap tidak layak untuk memantau tahap keselamatan Loji Nadir Bumi Lynas di Kuantan, Pahang walaupun Menteri Kesihatan itu dilantik sendiri oleh kerajaan pusat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Tiong Lai (Liow) pasti akan mengutamakan kepentingan projek Barisan Nasional (BN) tersebut memandangkan beliau merupakan Pengerusi MCA di negeri berkenaan.

Menurut Guan Eng, kredibiliti Liow mula dipertikai sejak dilihat menipu dalam insiden Hospital Bersalin Tung Shin menerima bedilan gas pemedih serta meriam air yang menjadi tempat perlindungan perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas.

“Bolehkah kita mempercayai Datuk Seri Liow Tiong Lai? Apabila dibuktikan polis memang menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam kawasan hospital, barulah Liow terpaksa memohon maaf secara terbuka,” ujarnya melalui satu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, di sebalik perlantikan Liow sebagai jawatankuasa pemantau, kerajaan pusat sendiri didedah memberi Lesen Kendalian Sementara (TOL) selama dua tahun kepada pengendali loji gas nadir bumi dari Australia tersebut.

Di bawah TOL, Lynas diberi tanggungjawab penuh bagi menguruskan sisa termasuk mengembalikan sisa tersebut pada sumber asal jika perlu.

Pun begitu katanya, Australia sendiri dalam satu laporan telahpun menolak untuk membawa pulang sisa asal Lynas demi menjaga keselamatan rakyat di negaranya.

“Jika begitu, ke manakah sisa-sisa itu akan dikembalikan? Siapakah pakar dalam MCA Pahang yang akan memantau operasi Lynas sama ada selamat atau tidak untuk rakyat?” tanya Guan Eng lagi.

Beliau berkata, dolak-dalih Liow itu sekaligus mencerminkan BN lebih mementingkan keuntungan besar daripada operasi Lynas berbanding keselamatan rakyat terbanyak yang berkemungkinan terdedah pada pencemaran nadir bumi Lynas.