Literasi kewangan senjata rakyat hadapi cabaran kos sara hidup – Ketua Menteri

Admin
ec0fbc83 4ab4 4374 8e62 db77fd8c13aa KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Abdul Rasheed Ghaffour (kiri sekali) turut meluangkan masa melihat pameran mata wang Malaysia iatu Ringgit yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 12 Jun 1967, sempena berlangsungnya acara perasmian Karnival Celik Kewangan 2025 di Queensbay Mall, Pantai Jerejak di sini pada 15 November 2025.

PANTAI JEREJAK – Literasi kewangan yang menjangkaui setiap isi rumah akan menjadi senjata bagi rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang kian mencabar di negeri Pulau Pinang.

e89ac7a5 b285 43fd b306 0692462f5bf3
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025 yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) di sini pada petang tadi.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa usaha Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) menganjurkan Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025 adalah releven kerana bukan sahaja mencelikkan masyarakat, malah melindungi mereka daripada risiko kewangan serta membina teras ekonomi negeri.

“Literasi kewangan mesti menjangkau setiap isi rumah iaitu dari pelajar sekolah, pekerja kilang, peniaga kecil hingga golongan pesara.

“Dengan masyarakat yang celik kewangan, kita (kerajaan) bukan sahaja melindungi rakyat daripada risiko kewangan, tetapi juga membina asas ekonomi negeri yang lebih kukuh,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa merasmikan karnival tersebut di Queensbay Mall di sini pada 15 November 2025.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu hubungan erat antara Kerajaan Negeri, BNM dan FEN bukan sesuatu yang baru jika dilihat pada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti eDuit, Perlindungan Tenang, program kewangan sosial iTEKAD dan kempen kesedaran anti-scam.

“Jadi, Karnival Celik Kewangan 2025 ini adalah amat selari dengan gagasan Visi Penang2030 yang mana kita bukan sekadar mengejar pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga memastikan rakyat mahir, bijak dan bersedia menghadapi masa depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkasa transaksi tanpa tunai melalu inisiatif Cashless 3.0 memandangkan platform eBayar Penang sedia ada dikatakan telah mencatatkan lebih 1.5 transaksi setakat ini kerana mudah, selamat dan telus untuk kegunaan rakyat.

Berucap sebelum itu, Gabenor BNM, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bahawa penganjuran karnival tersebut merupakan acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2025, iaitu suatu satu inisiatif nasional untuk memperkasa rakyat dengan ilmu dan kemahiran kewangan.

“Sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan, yang terdiri daripada ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN, telah menjelajah ke lebih 100 lokasi di seluruh negara untuk bertemu pelajar, peniaga kecil, suri rumah, warga emas serta lain-lain lagi dengan membawa mesej bahawa mengurus wang dengan bijak merupakan asas kesejahteraan hidup,” ulasnya.

Pada hujung ucapan aluan, beliau turut memberitahu bahawa ekonomi Malaysia hari ini kekal stabil dan berdaya tahan, sungguhpun rakyat Malaysia turut berdepan dengan kos sara hidup kian mencabar, seperti di negara-negara lain juga.

“Dalam keadaan ini, literasi kewangan menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja, membuat keputusan kewangan yang bijak dan membina daya tahan isi rumah,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN