Little India dinaiktaraf

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Landskap sekitar Lebuh Queen, Lebuh Chulia dan Jalan Pasar atau lebih dikenali sebagai Little India di sini bakal berubah apabila Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil inisiatif untuk menaiktaraf beberapa kemudahan di sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan termasuk menaiktaraf beberapa laluan sekitar.

“Kawasan Little India adalah kawasan tumpuan di mana para pelancong tempatan dan luar negara sering singgah untuk membelibelah
dan jamu mata.

“Sebagai permulaan, kita telah berbincang dengan pemilik premis di kawasan tersebut bagi memberi pandangan serta cadangan untuk menaiktaraf kawasan di sini.

“Hasil perbincangan, kita akan memulakan Fasa 1 dengan mengecat beberapa buah premis yang usang dan akan minta khidmat bantuan dari badan penggerak projek di bawah Khazanah Nasional Berhad, Think City Sdn. Bhd. untuk terlibat sama,” ujar Kon Yeow baru-baru ini ketika mengadakan lawatan sempena sambutan Deepavali di sini.

Kon Yeow yang juga merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas menyatakan bahawa kerja-kerja menaiktaraf laluan sekitar melibatkan Lebuh Queen, Lebuh King, Lebuh Pasar dan Lebuh Penang juga akan dilaksanakan sebaik sahaja Fasa 1 selesai.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), L. Prem Anand yang turut serta dalam lawatan tersebut memberitahu bahawa lokasi Little India dalam kawasan Bandar Warisan Dunia menjadikan ia begitu terkenal.

“Oleh itu, kita perlu memelihara persekitaran termasuk struktur jalan dan infrastruktur yang ada dalam kawasan ini.

“Malah, kesesakan juga dapat diperbaiki dengan adanya tempat meletak kenderaan dua tingkat dengan bayaran RM2 sekali masuk di
kawasan berhampiran,” ujar Prem Anand.

LITTLE India – Gambar hiasan.
LITTLE India – Gambar hiasan.