Lokaliti wabak denggi, zika digempur

BAYAN LEPAS – Tiga lokaliti dikenal pasti sebagai kawasan wabak denggi digempur habis-habisan dalam usaha menangani peningkatan kes demam denggi selain meningkatkan kesedaran umum mengenai bahayanya.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang hadir menyempurnakan Program Gotongroyong Mega Daerah Barat Daya 6 Ogos lalu berkata, tiga lokaliti terpilih ialah Kampung Seronok di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas dan dua lokasi lain dalam KADUN Batu Maung, iaitu Taman Muhibbah serta Pangsapuri TNB dekat Sungai Ara.

Menurutnya, semua pihak terutama penduduk setempat perlu menggembleng tenaga dan usaha secara konsisten bagi memastikan persekitaran kediaman bersih serta bebas daripada sebarang kawasan yang berisiko menakung air.

“Semua pihak, khususnya penduduk setempat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wabak denggi dibendung sepenuhnya… bukan sahaja denggi, zika juga perlu dibanteras.

“Jangan ambil mudah, jangan ambil ringan kerana kedua-dua wabak ini boleh meragut nyawa, dan jika dibiarkan, ia akan menular pada tahap yang membimbangkan,” ujarnya yang berharap bahawa tiada lagi kes kematian dicatatkan di KADUN tersebut selepas ini.

Difahamkan, Program Gotong-royong Mega Daerah Barat Daya diadakan setelah menerima saranan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Aff Bahardin.

Bertemakan ‘Belasah Aedes, Elak Denggi & Zika’, program tersebut dilaksanakan secara bersepadu bersamasama Jabatan Kesihatan Daerah, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah dan Pengerusi JKKK Kampung Seronok selaku Koordinator Program, Syed Saberi Syed Amirudin.