Lokasi strategik elak pembaziran

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim menyarankan supaya pertimbangan lebih serius diberikan dalam proses menyediakan keperluan astaka serta kompleks makanan lebih teratur, strategik dan boleh digunapakai pada masa akan datang.

ISZUREE Ibrahim
ISZUREE Ibrahim

Ini adalah kerana menurutnya, akibat ketidakcekapan dan perancangan yang sempurna menyebabkan aktiviti menjaja di tepi jalan secara tidak sah khususnya di kawasan Bayan Lepas di sini semakin meningkat.

“Secara tidak langsung, penjaja haram yang semakin meningkat saban hari turut meningkatkan kos MPPP apabila Jabatan Perlesenan terpaksa bekerja lebih masa bagi melakukan penguatkuasaan mencegah aktiviti penjaja haram yang kian sesak.

“Malah, kos memperbaiki dan menyediakan pengawal keselamatan untuk berkawal 24 jam di astaka atau kompleks makanan terbiar kosong yang mengalami pelbagai kerosakan akibat kegiatan vandalisme juga terpaksa ditanggung MPPP,” ujarnya pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah Iszuree, bagi mengelakkan kerugian dan pembaziran yang terpaksa ditanggung MPPP, Jawatankuasa Perancang Pemajuan perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan para pemaju menyediakan pusat penjaja lebih strategik.

“Pembinaan astaka dan kompleks makanan di kawasan yang tidak strategik menyebabkan tiada penjaja berminat untuk menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan dan seterusnya menyebabkan kerugian pihak berkenaan,’’ tegasnya.