Lorong Bagan Luar 1 & 2 ditutup sempena penganjuran BFF 2019, bas perantaraan disediakan

Admin

SEBERANG JAYA – Sebahagian susur jalan Bagan Luar termasuk lorong belakang akan ditutup kepada semua jenis kenderaan sempena penganjuran Butterworth Fringe Festival (BFF) 2019 dekat Padang Pemuda Merdeka, Butterworth pada 7 dan 8 Disember ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa penutupan jalan turut melibatkan Lorong Bagan Luar 1 dan Lorong Bagan Luar 2 bermula pada 5 hingga 9 Disember.

“Penutupan jalan adalah mulai dari jam 12.00 tengah malam sehingga 6.00 pagi.

“Justeru, bagi memudahkan orang ramai pihak penganjur akan menyediakan bas perantaraan (shuttle bus) dari Penang Sentral sepanjang festival berlangsung,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara Bandaraya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mohamud serta Pengurus Besar TLM Event, Jack Wong.

Dalam pada itu, Jack Wong berkata, sebanyak 50 acara tempatan dan antarabangsa bakal dipersembahkan secara percuma kepada pengunjung.

“BFF menjanjikan kelainan bagi pengisian acara sepanjang festival berlangsung yang berteraskan asimilasi budaya serantau.

“Lebih 100 artis tempatan dan antarabangsa dari lapan buah negara bakal mengambil bahagian dalam pada tahun ini,” ujarnya.

Difahamkan, penganjuran program tersebut adalah bagi tahun kelima berturut-turut melalui kerjasama MBSP, Think City Sdn. Bhd., TLM Event serta beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS