MBSP tawar wang tunai sehingga RM8,000 kepada pembayar cukai taksiran bertuah tahun depan

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganjurkan Promosi Hebat Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2020 mulai 1 Disember 2019 sehingga 29 Februari tahun depan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pemenang cabutan bertuah pada kali ini berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM8,000.

Katanya lagi, MBSP juga menyediakan 4,000 unit cenderamata kepada pembayar cukai yang terawal menjelaskan bil cukai taksiran setahun serta layak menyertai cabutan bertuah.

“Pembayar cukai perlu mematuhi beberapa kriteria yang ditetapkan bagi melayakkan mereka terpilih dalam cabutan bertuah termasuk membayar keseluruhan cukai setahun bagi tahun 2020 berserta jumlah tunggakan sekiranya ada.

“Selain itu, pembayaran hendaklah dibuat dalam tempoh yang ditetapkan iaitu mulai 1 Disember 2019 hingga 29 Februari 2020.

“Pembayaran boleh dibuat secara online, di kiosk, laman web, dan ejen-ejen yang sah dilantik serta di semua kaunter MBSP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara Bandaraya di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa sebanyak 45 hadiah menarik dan lumayan disediakan bagi promosi tahun depan.

“Sebanyak 40 hadiah bagi kategori A iaitu bayaran secara online, ejen kutipan serta di kiosk manakala lima hadiah lagi bagi bayaran di kaunter MBSP (kategori B).

“Oleh itu, pembayar cukai digalakkan membuat bayaran secara online di laman web MBSP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau melalui ejen-ejen yang sah serta kiosk Paylink di seluruh negara kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pembayar cukai bagi kategori A layak memenangi wang tunai berjumlah RM8,000 bagi tempat pertama; tempat kedua (RM4,000) manakala tempat ketiga (RM2,000).

Pemenang di tempat keempat hingga ketujuh pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala selebihnya bakal memenangi peralatan sukan, perkakasan teknologi maklumat serta peralatan rumah dan elektrik.

Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat serta senarai hadiah boleh layari laman web www.mbsp.gov.my atau hubungi talian 04-5497 470/471/697/469/790.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS