Lorong sisi dari Jalan Kajang ke Jalan Patani ditukar kepada laluan sehala

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan penukaran aliran lalu lintas dua hala kepada sehala di lorong sisi yang bersambung dari Jalan Kajang ke Jalan Patani.

Ahli Majlis MBPP, Tan Chiew Choon berkata bahawa keputusan telah disahkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas Bil. 6 Tahun 2020 pada 9 Julai lalu.

“Laluan ini akan dijadikan jalan sehala dengan arah aliran dari Jalan Patani ke Jalan Kajang dan diuji secara percubaan selama tidak kurang dari tiga bulan,” katanya dalam Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 8 Tahun 2020 yang dijalankan melalui telesidang, pagi tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yeow Tung Seang yang turut disertai oleh Ahli-Ahli majlis bagi MBPP

Dalam perkembangan lain, beliau memalumkan bahawa pihak Majlis juga meluluskan cadangan bagi membenarkan pemasangan struktur papan iklan dengan ketinggian melebihi tiga kaki pada bumbung pondok perhentian bas.

Katanya lagi, struktur papan iklan yang dibenarkan dipasang perlu memenuhi beberpa syarat antaranya ketinggian tidak melebihi enam kaki.

“Permohonan struktur iklan dengan ketinggian tiga hingga enam kaki boleh mengguna pakai proses permohona lesen iklan yang sedia ada.

“Sekiranya terdapat permohonan struktur papan iklan pada bumbung pondok perhentian bas melebihi enam kaki, maka ia perlu dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pengangkutan Awam Lestari untuk pertimbangan seterusnya,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas berkata bahawa semua permohonan struktur papan iklan pada bumbung pondok perhentian bas perlu mendapatkan pengesahan daripada jurutera bertauliah dan ditandatangani di atas pelan.

“Jurutera bertauliah perlu mengesahkan kekukuhan struktur pondok perhentian bas termasuk papan iklan.

“Bagi struktur papan iklan yang telah dipasang di atas bumbung pondok perhentian bas perlu diperiksa setiap 12 bulan dan disahkan oleh jurutera bertaulian daripada segi keselamatan dan kekukuhan struktur,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBPP