LPNPP, Paramount Property tandatangani perjanjian bangunkan semula Kampung Ujong Batu

Admin
img 20261025 wa0024

SEBERANG JAYA – Pembangunan semula Kampung Ujong Batu di sini memasuki fasa baharu menerusi pemeteraian Perjanjian Pembangunan antara Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dengan Paramount Property (Butterworth) Sdn. Bhd., sekali gus membuka laluan kepada usaha menyediakan persekitaran kediaman yang lebih selesa dan terancang kepada penduduk setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembangunan semula kawasan seluas 15.87 ekar itu merupakan langkah penting dalam memperbaharui landskap bandar Butterworth agar lebih moden, berdaya saing dan tersusun, tanpa mengabaikan kebajikan serta kepentingan penduduk yang terlibat.

Menurut beliau, pembangunan berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kemajuan fizikal sesebuah kawasan berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial terhadap rakyat.

“Prinsip kita jelas, pembangunan mesti membawa kemajuan tetapi kebajikan dan hak penduduk yang layak tidak boleh dipinggirkan.

“Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dengan pemaju bagi menyediakan projek perumahan demi menunaikan tanggungjawab politik dan sosial dalam menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan antara LPNPP dengan Paramount Property (Butterworth) Sdn. Bhd. bagi pembangunan semula Kampung Ujong Batu di sini sebentar tadi.

Hadir sama, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yee Keen; Ketua Pegawai Eksekutif LPNPP, Khairulnizam Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Property (Butterworth) Sdn. Bhd., Jeffrey Chew Sun Teong serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), C. Linggeswaran.

img 20261025 wa0032img 20261025 wa0029

Kon Yeow menyatakan bahawa pendekatan pembangunan perumahan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah berteraskan prinsip keadilan sosial, termasuk menawarkan kediaman secara percuma kepada penduduk yang layak.

Tambahnya, Kerajaan Negeri hanya berhasrat mendapatkan semula kos tanah yang ditanggung oleh pemaju swasta tanpa mengenakan keuntungan ke atas projek-projek perumahan sosial yang diusahakan.

“Melalui prinsip keadilan sosial kepada rakyat, penduduk yang layak akan ditawarkan perumahan secara percuma.

“Kerajaan Negeri hanya mahu mendapatkan semula kos tanah yang dikeluarkan oleh pemaju swasta, dan sebab itu kita tidak meletakkan keuntungan ke atas projek-projek yang kita usahakan,” jelas beliau.

Kon Yeow menyatakan bahawa usaha berkenaan juga selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk menyediakan sebanyak 220,000 unit rumah bagi rakyat Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa LPNPP kini memainkan peranan penting dalam menerajui pelaksanaan pelbagai projek perumahan di negeri ini, termasuk projek yang sedang dilaksanakan, dalam perancangan, penelitian dan perbincangan, selain yang berada pada peringkat panggilan tender.

Malah, kata beliau, Kerajaan Negeri turut giat mengenal pasti tanah bersesuaian bagi membolehkan LPNPP menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan perumahan sosial.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menjelaskan bahawa usaha merealisasikan pembangunan semula Kampung Ujong Batu telah melalui beberapa peringkat sebelum mencapai persetujuan untuk dimeterai pada hari ini.

Menurut beliau, LPNPP telah membuka proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP) sebanyak tiga kali, masing-masing dari 8 November 2024 hingga 17 Februari 2025, 4 April hingga 5 Ogos 2025 serta 12 November 2025 hingga 2 Februari 2026.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga proses berkenaan tidak menerima penyertaan daripada pihak yang berminat.

Bagi memastikan projek itu dapat diteruskan, beliau menjelaskan bahawa pendekatan alternatif telah diteliti sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 April 2026 dan Lembaga Perolehan LPNPP pada 7 Mei 2026 bersetuju supaya pembangunan berkenaan dilaksanakan menerusi kaedah rundingan terus.

Susulan itu, Paramount Property (Butterworth) Sdn. Bhd. menyatakan minat untuk terlibat dalam pembangunan semula kawasan berkenaan.

Kon Yeow berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan langkah permulaan yang penting, namun pelaksanaan projek masih perlu melalui proses serta prosedur seterusnya, termasuk penyediaan pelan dan mendapatkan kelulusan kebenaran merancang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi kerajaan, pemimpin setempat dan pihak pemaju, atas kerjasama serta kesediaan mencari titik persetujuan bagi merealisasikan pembangunan tersebut.

“Saya juga menyeru penduduk supaya terus mengamalkan semangat kebersamaan dan bersikap terbuka terhadap perubahan yang mampu membawa manfaat kepada kehidupan mereka.

“Pembangunan perumahan bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, sebaliknya berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kehidupan menerusi persekitaran yang lebih baik dan selesa,” ujarnya.

img 20261025 wa0027img 20261025 wa0028

 

Sementara itu, Sun Teong menyatakan bahawa pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPNPP sehingga membolehkan inisiatif pembangunan semula Kampung Ujong Batu direalisasikan.

Tambah beliau, pengalaman Paramount dalam industri pembangunan hartanah selama hampir empat dekad membentuk pemahaman bahawa pembangunan sesebuah kawasan bukan sekadar melibatkan pembinaan fizikal, sebaliknya memerlukan penelitian terhadap keperluan masyarakat setempat serta komitmen mewujudkan persekitaran kediaman yang kondusif.

“Cadangan pembangunan semula Kampung Ujong Batu memberi kami peluang untuk menterjemah prinsip tersebut menerusi sebuah projek yang diharapkan dapat membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pembangunan itu, sebanyak 350 unit Rumah MutiaraKu mampu milik akan disediakan bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri memperluas akses rakyat kepada perumahan berkualiti.

Tambahnya, Paramount turut komited memastikan pembangunan berkenaan mengambil kira komuniti sedia ada yang mempunyai sejarah tersendiri serta hubungan erat dengan kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Sun Teong memberitahu bahawa kerjasama rapat dengan LPNPP dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap peringkat pelaksanaan projek dilaksanakan secara teliti, berhemah dan sensitif terhadap keperluan masyarakat.

“Projek ini menandakan satu permulaan penting, walaupun masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan, kami berharap kerjasama erat dengan LPNPP dan Kerajaan Negeri dapat terus diperkukuh sepanjang pelaksanaan projek ini,” jelasnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD