Luaskan kerjasama strategik serantau, pulihara warisan budaya tidak ketara tempatan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Pulau Pinang dapat saling bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan dunia dalam usaha memelihara warisan budaya tidak ketara sekitar negeri ini, khususnya di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Justeru, beliau berharap penganjuran 2017 Southeast Asian Collaborative Meeting On Safeguarding Intangible Cultural Heritage baru-baru ini menjadi satu lagi platform strategik untuk mesyuarat bersama ke arah meningkatkan daya upaya komuniti dalam memelihara warisan kebudayaan tidak ketara serantau.

“(Warisan) ketara adalah sesuatu yang boleh dilihat secara nyata, disentuh dan dirasai, tetapi (warisan budaya) tidak ketara adalah sesuatu untuk generasi akan datang merasainya.

“Maka, wadah ini begitu penting kerana saling kerjasama merentasi sempadan negara untuk mengenal pasti kekuatan bersama dan meneroka peluang baharu bagi mewujudkan langkah pemuliharaan warisan budaya tidak ketara dengan lebih baik lagi,” ucapnya yang juga Pengerusi Perbadanan George Town Tapak Warisan Dunia (GTWHI) pada majlis perasmian penganjuran berkaitan di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar Information and Networking Centre for Intangible Cultural Heritage in the Asia-Pasific Region (ICHCAP), Khow Huh serta Ketua Unit Kebudayaan bagi Pejabat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di Bangkok, Duong Bich Hanh turut berucap pada kolokium tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee dan fasilitator bengkel kerja pembangunan kapasiti UNESCO, Frank Proschan.

Menurut Guan Eng, langkah Kerajaan Negeri menubuhkan GTWHI pada tahun 2010 merupakan salah satu simbol pentadbirannya begitu cakna mengenai warisan ketara dan warisan tidak ketara di negeri ini.

Tambah beliau, usaha-usaha Kerajaan Negeri memelihara warisan ketara dan tidak ketara di Pulau Pinang sehingga kini secara 4P iaitu “peoples, public, private partnership”.

Kolokium kali ini adalah membabitkan beberapa pembentang antarabangsa, antaranya, Prof. Dr. Norma A. Respicio (University of the Philippines); Ir. Asfarinal Nanang (Pengarah Eksekutif Jaringan Kota Pusaka Indonesia); Dr. Le Thi Minh (Pengarah Pusat Penyelidikan dan Promosi di Persatuan Warisan Budaya Vietnam) dan Ming Chee sendiri dari Pulau Pinang.