Perselisihan di perkarangan Masjid Makbul selesai ikut ‘semangat Pulau Pinang’ – Exco Agama

SUNGAI PINANG – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim menganggap isu kekecohan kaum di perkarangan Masjid Makbul Sungai Pinang baru-baru ini berjaya diselesaikan mengikut ‘semangat Pulau Pinang’.

Selepas insiden itu, beliau memberitahu, kumpulan anak muda yang dipercayai memalu gendang ketika solat berjemaah Isyak sedang berlangsung baru-baru ini, telahpun saling bertemu dengan jawatankuasa kariah berkenaan demi menyemarak lagi keharmonian kaum.

“Isu ini telahpun ditangani dengan baik, ini adalah ‘semangat Pulau Pinang’ kerana pihak penganjur sendiri mengaku tidak mengawal anggotanya, dan telahpun saling meminta maaf dengan jawatankuasa kariah Masjid Makbul,” jelasnya kepada pemberita ketika menyertai Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri melawat sebuah projek perumahan Mutiara Ria kendalian agensi Persekutuan JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) di sini 13 Oktober lalu.

Bercakap pada sidang media sama, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menganggap insiden di perkarangan masjid tersebut berpunca oleh sentimen perkauman tebal yang telah lama wujud di tanah air ini serta cuba disemarakkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab tertentu.

Bagaimanapun menurut beliau, pihakAbdul Malik dilihat berjaya mencegah sentimen perkauman itu begitu cepat, dengan mendorong perbincangan kedua-dua belah pihak terbabit secara harmoni atas ‘semangat Pulau Pinang’.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim pula mensyorkan pihak polis supaya memberi penjelasan lanjut serta menerangkan garis panduan program berwajib sebelum mengeluarkan satu-satu permit kebenaran penganjuran.

Tambah beliau, langkah sebegitu adalah demi memastikan insiden yang boleh mencetuskan ketegangan kaum seperti di perkarangan tepi Masjid Makbul Sungai Pinang tidak lagi berulang pada masa hadapan di negeri ini.