RTB Sungai Junjung: Anggaran RM135 juta, Pusat hanya belanja RM18 juta – KM

BUKIT TAMBUN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon RM135 juta peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Junjung, tapi yang telahpun dibelanjakan setakat ini di sini baru RM18 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika melawat tapak kemajuan projek itu, bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow baru-baru ini.

“Projek RTB Sungai Junjung ini merupakan satu contoh yang terbaik yang mana RM135 juta diperlukan, tetapi dibelanja hanya RM18 juta,” ujarnya.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi JPS Negeri, Ir. Sabri Abdul Muluk serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai lawatan kerja tersebut.

Sebelum itu, Sabri menjelaskan bahawa RM2.6 bilion yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman bukanlah jumlah perbelanjaan Kerajaan Pusat sejak tahun 2006 untuk menangani kejadian banjir di negeri ini, sebaliknya (angka itu sebenarnya) adalah anggaran projek-projek RTB yang dimohon oleh JPS negeri sahaja.