LWHNPP rakam penghargaan kejayaan Thaipusam tahun ini

dsc 2645

GEORGE TOWN – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) menyifatkan perayaan Thaipusam tahun ini juga diiktiraf sebagai salah satu yang paling bersih di Pulau Pinang.

 

Menurut Timbalan Pengerusi LWHNPP,  Ahli Dewan Negara (Senator) Dr. RA Lingeshwaran, kejayaan itu adalah hasil komitmen kuat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kerjasama cemerlang para penganut.

 

“Sebanyak 127 tan sisa kelapa berjaya dibersihkan oleh pihak Majlis, manakala kira-kira 225,000 liter susu telah dibuang dengan selamat di Pulau Burung mengikut garis panduan kesihatan awam dan alam sekitar.

 

“Ini mencerminkan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kelestarian semasa perayaan keagamaan,” ujarnya melalui satu kenyataan media semalam.

 

Tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Kuil turut melaksanakan laluan khas yang ditetapkan sekitar kuil sebelum para penganut memasuki kawasan utama.

 

“Melalui inisiatif ini, jumlah orang yang bersesak di tangga dikurangkan sebanyak 27 peratus.

 

“Pergerakan melalui laluan ini juga mengakibatkan bilangan kes pengsan dan jatuh di tangga jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, hasil positif daripada langkah yang diperkenalkan.

 

“Risiko jatuh di tangga lebih tinggi pada waktu puncak dan maklum balas daripada pasukan perubatan mengesahkan bahawa susunan ini membolehkan mereka memberi bantuan dengan lebih pantas dan efisien sekiranya berlaku kecemasan,” ulasnya lagi.

 

LWHNPP turut mengucapkan merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), RELA, MBPP, sukarelawan terlibat, jawatankuasa kuil dan orang ramai atas disiplin dan kerjasama mereka.