SERDANG – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, menyifatkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merupakan platform penting dalam memperkasa usahawan kecil dan sederhana dengan menyediakan ruang untuk memperkenalkan produk perniagaan ke pasaran yang lebih luas.
Menurut beliau, peluang menyertai MAHA seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh usahawan-usahawan Pulau Pinang dalam menonjolkan kepelbagaian produk negeri ini yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
“MAHA adalah satu platform yang penting untuk memperkasakan usahawan kecil dan sederhana.
“Saya amat gembira melihat usahawan dari negeri Pulau Pinang yang berpeluang menyertai expo agrotani di MAHA 2026 di negeri Selangor ini.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) mahu bersama-sama memastikan usahawan kecil dan sederhana mendapat peluang yang baik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, bukan sahaja pada peringkat tempatan malah juga antarabangsa,” ujarnya pada sesi lawatan ke MAHA 2026 bersama-sama delegasi Pulau Pinang di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Azmi Alang; Timbalan Setiausah Kerajaan (Pengurusan), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang lain.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam pada itu turut menyatakan bahawa penyertaan usahawan Pulau Pinang di MAHA turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu memperluas peluang pasaran, meningkatkan daya saing serta memperkukuh ekosistem keusahawanan dan agromakanan negeri.
“Sokongan Kerajaan Negeri ini juga menunjukkan kita tidak mengabaikan usahawan-usahawan dalam meningkatkan daya saing serta memperkukuh ekosistem keusahawanan dan agromakanan sebagai salah satu sektor ekonomi yang penting,” jelasnya.
Dalam lawatan tersebut, Kon Yeow dan barisan delegasi meninjau sambil beramah mesra dengan pengunjung termasuk para usahawan negeri membabitkan sektor pertanian, agromakanan, hortikultur dan agropelancongan di Pavilion Pulau Pinang.
Antara acara menarik yang dipaparkan adalah sajian rusa bakar percuma kepada pengunjung, pemberian kupon makanan serta sesi soal jawab yang mana hadiah yang dimenangi disampaikan khas oleh Kon Yeow.
Difahamkan, MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos sehingga 6 September ini dengan waktu pengoperasian adalah dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI