Mahasiswa nikmati perkhidmatan bas percuma CAT laluan Sungai Dua – USM

Admin

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini melancarkan perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) bagi laluan Sungai Dua – Universiti Sains Malaysia (USM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban , A. Kumaresan ketika ditemui menzahirkan rasa teruja apabila perkhidmatan bas percuma ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada mahasiswa di USM untuk menikmatinya, tetapi juga penduduk setempat di sepanjang laluan bas terbabit.

“Pertama kali Kerajaan Negeri melancarkan bas percuma CAT di Kampus USM ini dan ia salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang,” ujarnya pada majlis pelancaran perkhidmatan bas percuma dekat Padang kawad, USM pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Cancelor ( Penyelidikan Dan Inivasi) Universiti Sains Malaysia, Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mohd. Azmi Abdullah.

Dalam pada itu, Kumaresan berkata, cadangan yang dikemukakan oleh TNC USM untuk turut menyediakan perkhidmatan bas percuma ini dari Kampus USM dekat Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan ke Kampus Induk USM dekat sini akan diberi pertimbangan sewajarnya.

“Cadangan tersebut, saya percaya dibuat atas dasar bagi memudahkan pergerakan para siswazah yang menuntut di Kampus Kejuruteraan dekat Nibong Tebal untuk ke sini dan sebaliknya.

“Saya turut mencadangkan agar pihak pengurusan USM dapat memperkenalkan inisiatif ‘Car Free Day’ pada hari bekerja bagi mendorong penggunaan optimum perkhidmatan bas percuma CAT ini,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap bulan Kerajaan Negeri membelanjakan RM120,000 untuk menampung kos perkhidmatan lima bas percuma yang digunakan di kawasan KADUN Batu Uban sahaja.

Keistimewaan bas percuma CAT ini adalah ianya dibalut dengan pembalut khas berwarna hijau dan berbeza dengan bas biasa yang berbayar.

Difahamkan, sebanyak lima buah bas disediakan bagi perkhidmatan bas percuma CAT laluan Sungai Dua – USM ini yang berkonsepkan ‘loop’ atau pusingan merangkumi laluan sepanjang 13 kilometer bermula dan berakhir di Padang Kawad, USM dari jam 6.30 pagi sehingga jam 11.45 malam setiap hari.

Antara kawasan yang dilalui termasuk Taman Pekaka, Tesco Extra, SJKC Keong Hoe, Taman Jubilee, Taman Lip Sin, Sunshine, Hotel Vistana, Taman Bukit Jambul, Kompleks Bukit Jambul, I- Avenue, Hotel Alora, SMK Sungai Nibong, SJKC Kwang Hwa, SK Sungai Nibong, Masjid Jamek Sungai Nibong, Gold Coast Resort, Bay Garden, Queensbay Mall, Pangsapuri Nibong Indah, Terminal Bas Sungai Nibong, dan SMJK Phor Tay.

Manakala jalan-jalan yang terlibat pula adalah Jalan Bukit Gambir, Jalan Pekaka, Jalan Sungai Dua, Lengkok Nipah, Jalan Bukit Gambir, Jalan Tun Dr.Awang, Jalan Kampung Relau, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Aziz Ibrahim, Persiaran Bayan Indah, Jalan Sungai Dua dan Jalan Universiti.

Laluan bas percuma CAT Sungai Dua – USM ini merupakan laluan ke-11 yang dilancarkan sejak 1 April lalu.

Oleh : G. REVATIC & AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : J. PATMAVATHY