MBPP lancar Ops Pemutihan Taska & Pusat Jagaan selepas 14 September depan

Admin
GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menjalankan operasi pemutihan taska dan pusat jagaan yang beroperasi tanpa lesen di bahagian pulau mulai pertengahan September depan.
Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata operasi berkenaan bertujuan memastikan semua taska dan pusat jagaan yang beroperasi mematuhi prosedur kebenaran yang ditetapkan.
“Program pemutihan taska dan pusat jagaan tanpa lesen ini telah bermula sejak tahun 2016 lagi dan akan tamat 14 September depan.
“Sebanyak 172 premis terlibat di dalam program pemutihan ini, tetapi sambutan yang diterima kurang memberangsangkan,  daripada jumlah tersebut sehingga kini terdapat 156 pengusaha masih enggan mengambil peluang mendaftarkan taska dan pusat jagaan mereka secara sah.
“Dalam tempoh tersebut hanya 16 taska dan pusat jagaan sahaja yang didaftarkan dan mendapat kebenaran sah,” ujarnya pada sidang media ringkas selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM), di sini pagi ini.
Hadir sama Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Tung Seang menyeru kesemua 156 taska dan pusat jagaan yang masih tidak berlesen tampil mengambil peluang mendaftarkan perniagaan mereka secara sah.
Katanya, selepas ini pihak Majlis tidak akan lagi memberi serta mengeluarkan apa-apa notis lanjut lagi sebaliknya meneruskan tindakan operasi pemutihan secara bersepadu.
“Pelbagai inisiatif dan pendekatan telah MBPP laksanakan bagi memudahkan para pengusaha ini mendaftarkan perniagaan mereka secara sah.
“Antaranya memberikan diskaun sehingga 90 peratus dan memudahkan proses permohonan,” ujarnya lanjut.
Justeru, sebelum tamat tempoh tersebut para pengusaha taska dan pusat jagaan berkenaan diminta tampil mengambil tindakan segera dengan mengemukakan permohonan tukar guna bangunan kepada Majlis dan mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan sebelum tempoh tersebut (14 September 2018).
“Kelonggaran tertentu telah diberikan kepada mereka (pengusaha)…mereka tidak lagi perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk melantik arkitek sebaliknya hanya membuat lakaran ringkas, serahkan dan daftar kepada kita (MBPP),” jelasnya.
Difahamkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil secara bersepadu bersama semua agensi terlibat ke atas pengusaha taska dan pusat jagaan selepas tamatnya tempoh ini sama ada melalui tindakan mahkamah atau rampasan.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi kakitangan MBPP, Encik Shaari di talian 017-424 7788.