ZPP terima zakat korporat hampir RM1 juta

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (lima dari kiri) diiringi Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (enam dari kiri) dan Amran Hazali (kiri sekali) bergambar bersama-sama para pemberi zakat perniagaan di sini tadi.

BERTAM – Mewakili Zakat Pulau Pinang (ZPP), Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman hari ini menerima zakat perniagaan hampir RM1 juta bagi haul 2019, daripada lima firma korporat.

Penolong Naib Presiden Uda Land (North) Sdn. Bhd., Mohd. Faisal Ibrahim Aup menyerahkan RM361,567.52 zakat korporat; diikuti; Ketua Wilayah Telekom Malaysia Pulau Pinang (RM211,062), Zailani Ismail; Pengurus Kewangan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Muhammad Nazmi Nawi (RM200,000); Pengarah Urusan Al-Hadad Marketing Sdn. Bhd., Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin (RM100,000), dan Perunding Operasi Gerbang Alaf Restaurant Sdn. Bhd., Abdul Razak Abdul Ghanee (RM75,000).

Turut menyaksikan, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali serta Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Semasa berucap, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa ZPP hari ini giat mempromosi serta mempelbagaikan kaedah pembayaran zakat selaras dengan norma baharu akibat pandemik COVID-19.

“Dengan petunjuk ekonomi yang masih lagi suram akibat pandemik COVID-19 ini, saya percaya kaedah kutipan zakat yang efektif akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana bantuan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kelangsungan hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan,” jelasnya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP dalam Majlis Jamuan Teh ZPP Bersama-sama Pembayar Zakat Korporat di Penang Golf Resort, Bertam di sini pada 24 Disember 2020.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa pembayaran zakat korporat berkenaan merupakan simbol kesedaran serta kepedulian sosial oleh pihak pemberi zakat (muzaki) kepada para penerima zakat (mustahik).

AMRAN Hazali (kiri) dalam sidang media bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menjelaskan mengenai kedudukan hasil kutipan dan jumlah agihan zakat semasa bagi tahun 2020.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa RM122.4 juta merupakan angka sasaran kutipan zakat bagi tahun 2020, setelah dinilai semula pasca pandemik COVID-19.

“Pada tahun ini, kalau tak capai angka sasaran kutipan yang dinilai semula itu pun, kita (ZPP) harap hasil kutipan adalah melebihi RM100 juta (RM100.8 juta direkodkan sehingga 22 Disember 2020),” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Sementara itu, Amran memberitahu bahawa pada tahun ini, jumlah penerima sumbangan zakat dalam kalangan pelbagai asnaf bertambah kira-kira 10,000 orang menjadi 50,000 orang berbanding tahun 2019 akibat pandemik COVID-19.

“Kita menjangkakan jumlah agihan zakat bagi tahun 2020 ini adalah melebihi jumlah kutipan dalam kira-kira RM5 juta hingga RM10 juta, namun Alhamdulillah jumlah agihan mencukupi (dengan mengambil RM10 juta lebihan kutipan bagi tahun 2019),” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, ZPP sebagai agensi Kerajaan Negeri pada tahun 2019 berjaya mengutip RM121 juta zakat fitrah dan zakat perniagaan, serta telah mengagihkan sejumlah RM111 juta kepada pelbagai asnaf di Pulau Pinang.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YQACOB