MAINPP peruntuk RM13.2 juta bagi aktiviti pendidikan dan pengurusan masjid tahun ini

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak RM13,285,446 diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi aktiviti pendidikan dan pengurusan masjid di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi tahun 2022.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata peruntukan tersebut adalah meliputi pengagihan kepada Bahagian Pendidikan JHEAIPP berjumlah RM9.8 juta manakala baki RM3.4 juta lagi adalah untuk Bahagian Pengurusan Masjid dan Takmir sepanjang tahun ini.

“Semua penyediaan peruntukan ini adalah bagi membiayai aktiviti Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Agama Rakyat, Tadika Islam (TADIS), Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok yang berdaftar dengan MAINPP.

“Selain itu, peruntukan ini juga termasuk untuk membiayai elaun tambahan RM200 seorang kepada semua guru KAFA setiap bulan dan RM250 sebulan kepada semua guru besar sekolah KAFA di samping mereka menerima bayaran elaun bulanan RM1,000 seorang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merasmikan Majlis Multaqa Murrabi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Pengarah JHEAIPP, Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria serta ramai lagi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua MAINPP menjelaskan bahawa peruntukan RM3.4 juga yang disediakan bagi aktiviti pengurusan masjid adalah termasuk membiayai kos program, kursus dan seminar serta bayaran saguhati tahunan kepada 261 guru takmir.

“Saguhati tahunan turut diberikan kepada 832 orang jawatanuasa kariah utama yang terdiri daripada pengerusi kariah, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari di seluruh negeri dan juga membiayai elaun bulanan kepada 828 orang bilal dan siak di setiap kariah.

“Elaun kehadiran mesyuarat jawatankuasa kariah juga diperuntukkan kepada 3,120 ahli jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri selain membiayai pelbagai aktiviti dan program masjid serta surau dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata bahawa MAINPP sentiasa prihatin terhadap nasib 3,101 orang murabbi yang ada di negeri ini dan pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan mereka mendapat manfaat yang sewajarnya.

“Oleh itu, MAINPP akan memastikan hubungan kerjasama antara negeri Pulau Pinang dan JAKIM akan sentiasa utuh dan kukuh khususnya dalam aspek pendidikan dan pengurusan masjid yang melibatkan penyediaan peruntukan yang besar.

“Di samping itu, MAINPP juga turut membantu menyediakan peruntukan tambahan untuk melaksanakan program,
seminar dan kursus yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan melengkapkan keilmuan para murabbi sepanjang masa,” ulasnya.

Bersama-sama tetamu kehormat menyempurnakan gimik perasmian.

Dalam perkembangan semasa, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa MAINPP bakal memperkenalkan pengurusan projek masjidpro di setiap masjid seluruh kariah di negeri ini.

Katanya, penggunaan sistem masjidpro adalah bertujuan untuk memastikan setiap jawatankuasa kariah dapat mengurus tadbir kariah masjid dengan lebih sistematik

“Pelaksanaan penggunaan sistem masjidpro ini akan dibiayai menggunakan dana pendapatan masjid manakala kos sebahagian daripadanya akan dibiayai oleh MAINPP,” jelas beliau lagi.

Pada majlis tersebut, JAKIM menyerahkan peruntukan tahun 2022 berjumlah RM31,217,982 kepada negeri Pulau Pinang bagi membiayai elaun bulanan kepada 1,586 guru KAFA, 261 guru takmir, 438 orang imam dari 208 buah masjid kariah serta bayaran secara one off sebanyak RM500 seorang kepada 3,101 orang murabbi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD