Aktiviti solat tarawih, tadarus dan qiamullail dibenarkan sepanjang Ramadan – TKM1

GEORGE TOWN – Semua masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang dibenar untuk menganjurkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk solat tarawih, tadarus dan qiamullail.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.

“Kita (pihak berkuasa agama negeri Pulau Pinang) telah mengadakan perbincangan dan memutuskan bahawa solat tarawih dibenar untuk dilaksanakan di semua masjid dan surau di negeri ini.

“Bilangan rakaat pula sama ada 20 atau lapan rakaat adalah bergantung kepada kemampuan masjid dan surau dalam mengawal jumlah kehadiran jemaah.

“Selain itu, aktiviti tadarus dan qiamullail juga dibenarkan tanpa had masa tertentu dan bergantung kepada kemampuan masjid masing-masing,” katanya yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Tambah beliau lagi, solat sunat Aidilfitri juga akan dibenarkan namun tertakluk kepada prosedur oeprasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pembangunan Komuniti memberitahu bahawa masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang juga dibenar memulakan solat secara berjemaah dengan saf dirapatkan mulai 1 April ini.

“SOP baru masjid dan surau akan berkuat kuasa mulai 1 April ini selaras dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri dan surat saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dihantar kepada pihak berkuasa agama negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Justeru, kita akan merangka SOP untuk diguna pakai bagi penganjuran majlis-majlis oleh agensi agama di masjid dan surau di seluruh negeri ini,” katanya lagi sambil menambah bahawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun turut dibenarkan ke masjid.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD