BATU MAUNG – Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukkan RM20 juta menaja 80 orang pelajar bagi menyambung pengajian di Timur Tengah.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, para pelajar tersebut akan meneruskan pengajian di universiti-universiti terkenal di Jordan dan Mesir seperti The World Islamic Sciences and Education University (WISE), Universiti Yarmouk dan Universiti Mu’tah,s erta Universiti Al-Azhar.
“MAINPP sentiasa komited dalam menyokong perjalanan akademik para pelajar, sehubungan itu, setiap pelajar akan menerima Skim Permulaan IPT sebanyak RM2,500 secara one-off.
“Mulai tahun hadapan, semua pelajar ini juga akan menerima dermasiswa khas antara RM6,000 hingga RM10,000 bagi Mesir dan RM10,000 hingga RM14,000 bagi Jordan, bergantung kepada pencapaian akademik.
“Bagi tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM20 juta untuk biasiswa ini, hal ini menandakan kesungguhan kita dalam melahirkan generasi ilmuan Islam yang unggul dan berwibawa, peruntukan ini juga meningkat sebanyak RM500,000 berbanding tahun 2024,” ujarnya pada Majlis Inspirasi Ilmu Pelajar Ke Timur Tengah 2025 dan Amanat Timbalan Ketua Menteri I di Masjid Al-Qahhar Permatang Damar Laut di sini semalam.
Dalam memudahkan laluan pelajar ke Timur Tengah, MAINPP melalui Kolej islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) turut menjalankan program berkembar bersama universiti-universiti diiktiraf di Timur Tengah.
“Pada 2 Oktober 2022 seramai 15 orang pelajar lepasan diploma KITAB telah dihantar melanjutkan pengajian di Universiti WISE Jordan dengan kemudahan pemindahan kredit secara pukal yang membolehkan mereka terus ke tahun ketiga pengajian di Jordan dalam bidang fiqh wal usul, fiqh syafie dan tahfiz wal qiraat.
“Sesungguhnya biasiswa ini perlu digunakan dengan sebaiknya oleh setiap para pelajar yang menerimanya, diharapkan juga setelah tamat pengajian kesemua pelajar dapat kembali berbakti untuk negeri Pulau Pinang tercinta,” jelas Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman dan Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: BERITA HARIAN