Majikan perlu peka kesan rumah lebih penghuni/pekerja

Admin

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik, tuan rumah serta majikan yang menempatkan para pekerja membabitkan warga asing pada jumlah berlebihan dalam sesebuah premis di sini.

Tindakan tersebut, tegas beliau adalah bagi mengelakkan tercetusnya isu-isu sosial, kebersihan dan sebagainya.

Soo Huey memberitahu, berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dalam erti kata lain, menyatakan pemilik, tuan rumah atau majikan yang membenarkan premis mereka disewakan sehingga menimbulkan masalah berkaitan boleh dirujuk di bawah akta ini yang boleh menyebabkan pelaku didenda ribuan ringgit termasuk tindakan penjara sekiranya ingkar.

“Jika berlaku masalah seperti sampah misalannya, apabila aduan diterima, PBT boleh membuat pemeriksaan dan mengarahkan pemilik supaya membersihkan tempat sewaan berkenaan.

“Jikalau mereka (pemilik, tuan rumah atau majikan) enggan berbuat demikian, mereka boleh didenda atau dipenjara tidak melebihi enam bulan,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Sidang media tersebut diadakan hasil maklum balas diterimanya membabitkan kawasan sekitar Taman Berjaya di sini.

Menurut Soo Huey, apabila 15 hingga 20 warga asing menghuni sesebuah premis, aspek yang dipandang serius adalah faktor kebersihan sehingga menjejaskan kesihatan setempat.

“Turut berkait rapat adalah isu ketenteraman awam yang mana kadang-kala premis yang disewakan kepada warga asing kerap-kali menimbulkan suasana bising dan mengganggu kejiranan setempat.

“Malah, undang-undang negara juga mensyaratkan jarak antara setiap penghuni (dengan penghuni lain) dalam sesebuah premis adalah sebanyak enam kaki iaitu mereka (penghuni) tidak boleh bersentuhan apabila tangan didepakan,’’ ujar beliau.

Beliau memberitahu, mengikut rekod Jabatan Imigresen, terdapat 108,304 pekerja asing di Pulau Pinang.

Justeru, Soo Huey menyarankan supaya undang-undang tersebut dikuatkuasakan demi keselesaan para pekerja dan pada masa sama mewujudkan persekitaran yang selesa.

“Majikan seharusnya bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan tidak seharusnya mengambil sikap lepas tangan dan bersikap hanya ingin mengurangkan kos,’’ tegas beliau.