Makanan enak industri kulinari lonjak sektor ekonomi negeri

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa keenakan dan kelazatan makanan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam serta luar negara telah menjadikan industri kulinari di sini antara penyumbang utama dalam menaikkan sektor ekonomi negeri.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika merasmikan cawangan baru rangkaian Restoran Sri Ananda Bahwan Multicuisine Cafe di bangunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB), Jalan Utama di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, kenyataan tersebut tidak dapat disangkal apabila penerbitan rancangan televisyen popular, Lonely Planet menyatakan bahawa Pulau Pinang antara ‘syurga makanan’ terbaik yang menyediakan masakan pelbagai bangsa dan keturunan.

Mengulas lanjut mengenai majlis berkenaan, beliau menyatakan bahawa pembukaan cawangan restoran berkenaan merupakan langkah perkongsian bijak Kerajaan Negeri (ADUN) dalam menjana pendapatan.

“Ini kerana dengan membenarkan pihak swasta menyewa bangunan kerajaan, aspek penjagaan bangunan adalah lebih terurus yang mana di bawah tanggungjawab penyewa berkaitan.

“Pihak Sri Ananda Bahwan yang menyewa bangunan ini dengan kadar RM5,000 sebulan turut bertanggungjawab memelihara tempat ini,” ucap beliau.

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, Betty Chew Gek Cheng, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan, dan dua pemilik bersama Restoran Sri Ananda Bahwan, V. Harikrishnan dan V. Selvaraj.

Pembukaan cawangan baru Sri Ananda Bahwan ini bakal menyajikan sajian menarik dari Selatan dan Utara India, Gujerati, termasuk masakan Cina serta masakan tempatan lain.