Pusat kreatif negara, P. Pinang berpotensi

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Pulau Pinang mempunyai potensi muncul sebagai kelompok animasi negara pada masa hadapan ekoran adanya universiti, kolej dan akademi yang melatih bakat-bakat multimedia kreatif, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika ucapan Pembukaan Persidangan dan Pameran Industri Kreatif di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata, peranan kerajaan adalah penting untuk memulakan penciptaan persekitaran yang ketara dan tidak ketara dalam memberi inspirasi pembangunan kreatif.

“Pada Mac lalu, Information Technology Outsourcing and Business Process Outsourcing (ITBPO) Hub bernilai RM3.3 bilion telah dilancarkan di sini dalam usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negeri dan membolehkan pertumbuhan sektor pekerjaan yang berdaya maju.

“Bagi menggalakkan kelompok berpengetahuan baru muncul, Tapak Warisan Dunia George Town juga dikenalpasti sebagai pusat kreatif pembagunan multimedia dengan jumlah 100,000 kaki persegi yang dikenali sebagai Animasi Pencetus Kreatif (CAT),” ujarnya Hadir sama, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon, Pengurus Besar investPenang (iP), Loo Lee Lian dan Pengarah penganjuran Festival George Town, Joe Sidek.

Persidangan anjuran iP dan disokong Kerajaan Negeri tersebut turut menampilkan gabungan penceramah tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman perniagaan, kreativiti dan perspektif kerjaya masing-masing.

Guan Eng memberitahu, CAT adalah bertujuan meningkatkan kapasiti keupayaan dan kecekapan dalam industri kreatif Pulau Pinang bagi menghasilkan kandungan bertaraf dunia.

“Dengan cara ini, kita dapat menghasilkan kandungan bertaraf dunia dan akhirnya menjadi hab maklumat global serta kandungan multimedia digital.

“CAT akan digunakan untuk memandu usahawan dalam industri ini dan bertindak sebagai inkubator buat golongan terbabit dalam menyokong usaha-usaha kerajaan bagi meningkatkan inovasi kreatif,” ujarnya.