Majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang zahir perkhidmatan lebih dekat dengan masyarakat – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Chow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada
jabatan-jabatan yang berada di barisan hadapan agar dapat memberi serta mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan dengan cemerlang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, dekat Jalan Anson di sini petang tadi.

“Selari dengan moto jabatan berkaitan iaitu ‘Rakyat di Hati JPN’, saya percaya bahawa perkahwinan beramai-ramai melibatkan 24 pasangan pengantin di JPN Pulau Pinang hari ini mampu mengeratkan fungsi JPN secara terus dengan masyarakat.

“JPN yang merupakan antara jabatan penting dalam komuniti dapat menggunakan pendekatan sebegini untuk menzahirkan perkhidmatan mereka supaya lebih dekat kepada masyarakat,” katanya yang juga Exco bagi Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan & Komunikasi pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengarah JPN Negeri Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim; Timbalan Pengarah JPN Negeri Pulau Pinang, Azniza Osman; pegawai-pegawai JPN serta keluarga pasangan-pasangan pengantin.

Mengulas lanjut mengenai majlis tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa ianya mampu memberikan satu pengalaman menarik dan indah kepada semua pasangan pengantin baru itu.

“Saya sebagai Pendaftar Perkahwinan bagi negeri Pulau Pinang juga merasakan bahawa acara bertemakan The Joining Hearts and Souls ini bakal meninggalkan kenangan luar biasa kepada saya.

“Tahniah dan syabas kepada warga kerja JPN yang telah berjaya menganjurkkan acara yang penuh bersejarah pada hari ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menyatakan bahawa rekod perkahwinan pertama yang disimpan dalam buku lejer JPN Pulau Pinang adalah bertarikh 25 Jun 1890 bagi pasangan bernama William Southerland Frase dan Annie Towers.

Dalam pada itu, Nur Zulfa menyatakan bahawa majlis tersebut merupakan kali kelima diadakan JPN Pulau Pinang dalam meraikan pasangan pengantin.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS