Majlis Iftar Saudara Kita lambang keharmonian kaum di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Iftar Saudara Kita anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pulau Pinang, semalam boleh ditakrif sebagai lambang keharmonian sebenar masyarakat berbilang bangsa di negari ini.

Selain dihadiri oleh Cina Muslim, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum lain termasuk Melayu dan India.

Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor semasa berucap menyeru kaum Cina Muslim di negeri ini sama ada yang baru atau lama supaya mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk meningkatkan lagi amalan dan kebajikan terutamanya sedekah.

“Jadi, pada bulan mulia ini kita digalakkan meningkatkan amalan sama ada dari segi sembahyang atau bersedekah bagi membantu saudara-mara kita yang sedang dalam kesusahan sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Majlis Iftar Bersama Saudara Kita turut dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum.

“Selain itu, apabila menganut agama Islam, kita perlu menambah ilmu tentang hukum-hukum agama dan juga Islam secara keseluruhan agar kita dapat memahami bahawa Islam itu adalah agama yang Rahmatan Lil ‘Alamin,” ujarnnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Setiausaha Politik Parlimen Tanjong yang mewakili Ketua Menteri, Dr. Tan Kim Hooi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Pengerusi MACMA Pulau Pinang, Muhammad Faiz Ghan Abdullah serta barisan tetamu khas yang lain.

Pada majlis tersebut juga, seramai 20 orang asnaf daripada golongan Cina Muslim menerima wang zakat yang disumbangkan oleh Yayasan YARA berserta barangan keperluan harian sumbangan Petron Malaysia.

Sementara itu, Muhammad Faiz dalam ucapannya menerangkan bahawa peranan utama MACMA adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli selain memberi khidmat kaunseling, sokongan moral serta sebagai jurucakap bagi golongan Cina Muslim di negara ini.

“MACMA juga menjadi jambatan dalam membina penyatuan dan keharmonian antara kaum dalam keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

“Justeru, diharapkan majlis iftar ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dalam meningkatkan hubungan ukhuwah sesama saudara Islam dan bukan Islam,” ujarnya lagi.

Difahamkan, MACMA merupakan sebuah organisasi dakwah Islamiah yang tidak berteraskan keuntungan yang telah ditubuhkan dengan rasminya di peringkat pusat pada 8 September 1994 bagi memenuhi kehendak masyarakat Cina Muslim Malaysia untuk menggembleng usaha dakwah dengan lebih berkesan dan terfokus kepada bangsa Cina serta rakyat berbilang kaum di negara ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI