Permohonan naik taraf status MPSP kepada bandar raya sudah dibentangkan di kabinet, kata Jagdeep

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf status Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada bandar raya telah dibentangkan di kabinet pada minggu lepas.

Justeru, beliau menzahirkan keyakinan bahawa permohonan tersebut akan diluluskan memandangkan MPSP telah memenuhi semua kriteria yang diperlukan sebagai sebuah bandar raya.

“Kita tidak nampak mengapa permohonan ini tidak dapat diluluskan kerana kriteria-kriteria yang ditetapkan telahpun dipatuhi, malah MPSP juga menunjukkan prestasi yang baik sebelum ini.

“Oleh itu, diharapkan permohonan penaiktarafan status kepada bandar raya akan menjadi pemangkin untuk MPSP meningkatkan lagi tahap kualiti dan komitmen terhadap penduduk di Seberang Perai,” katanya pada sidang media dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Hadir sama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mohamud serta ketua-ketua Jabatan MPSP.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Rozali berharap agar permohonan tersebut dapat dimuktamadkan selepas sambutan Hari Raya Aidiltitri yang dijangka pada Jun ini.

“Masih ada banyak proses perlu dilalui selepas ia dibentangkan di peringkat kabinet termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan barulah akan dibawa kepada Kerajaan Negeri.

“Selepas itu, Kerajaan Negeri perlu mengaturkan satu program untuk mengangkat sumpah serta beberapa lagi program lain,” jelasnya.

Difahamkan, antara kriteria yang dipenuhi adalah pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sudah melebihi RM100 juta selain kemudahan-kemudahan sosial, pendidikan, industri serta rangkaian jalan raya yang boleh diakses dengan mudah oleh penduduknya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN