Majlis lulus sewaan tanah untuk dua Persatuan Penganut

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini telah meluluskan sebidang tanah yang terletak di Bayan Lepas untuk dipajak dan disewakan kepada Persatuan Penganut Dewa Hock Teik Keong, Padang Assam dan Persatuan Penganut Dewa Thai Shang Than, Sungai Tiram.

Ahli Majlis, Tan Hun Wai pada Mesyuarat Biasa Majlis yang berlangsung di Komtar baru-baru ini berkata, tanah lain-lain ibadat Majlis Lot 70670, Mukim 12 akan dipecahkan sempadan kepada dua plot dengan masing-masing berkeluasan 433 meter persegi (4,660 kaki persegi).

“Plot-plot ini masing-masing diperakukan akan dipajak kepada dua Persatuan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat pajakan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis.

Sewa tanah sebanyak RM600 setahun (RM50.00 sbulan) dengan bayaran deposit sebanyak RM600 (bersamaan sewaaan setahun) bagi tempoh pajakan sepuluh tahun dengan opsyen lanjutan 10 tahun,” ujarnya ketika membentangkan Pengesahan Menyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan ketika Mesyuarat Biasa Majlis di Komtar baru-baru ini di sini.

Kedua-dua Persatuan perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (sekiranya melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat dan ke atas) dan Pelan Bangunan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan Pihak Berkuasa Negeri diperolehi.

Tambah Hun Wai, kelulusan tersebut diberi oleh pihak Majlis bergantung tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri.

“Walau bagaimanapun, pemohon bertanggungjawab untuk membayar cukai tanah, bil utiliti seperti air, elektrik dan lain-lain sekiranya dikenakan dan penerima pajakan perlu mengambil Insurans Kebakaran dan Insurans Tanggungan Awam.

“Pemohon turut akan menanggung segala perbelanjaan dan bertanggungjawab bagi penyediaan dan pemprosesan pelan, kos pecah sempadan, kos pembinaan dan penyelenggaraan bangunan tersebut,” ujarnya.