Ops. Bersepadu MPPP periksa 16 gerai makan

Admin

BATU UBAN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdaganagan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan operasi pemeriksaan bersepadu di sebuah kompleks makanan berhampiran sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini baru-baru ini.

L. Prem Anand semasa menjadi Ahli Majlis MPPP berkata, operasi bersepadu itu bertujuan membanteras anasir pengambilan pekerja asing tanpa permit, meninjau harga barang serta menangani masalah kebersihan dan kesihatan.

Melalui penguatkuasaan bersepadu itu, beliau berkata, pihaknya berharap pelanggan boleh menikmati makanan bermutu dengan harga berpatutan di negeri berkenaan.

“Apabila kebersihan diabaikan, kita bimbang penyakit bawaan vektor seperti kencing tikus dan cirit-birit mudah terjadi. “Operasi seperti ini amat penting supaya para penjaja lebih peka akan isu kesihatan dan penguatkuasaan,” ujar beliau semasa menyertai operasi tersebut.

Prem Anand berkata, penguatkuasaan itu dilakukan ke atas 16 kedai makan dan 7 premis berkenaan dikenal pasti beroperasi tanpa lesen.

“Saya ingin mengingatkan para pengguna juga supaya pilihlah gerai yang bersih sebagai pilihan utama bagi menjamin kesihatan,” tegas beliau lagi.

Difahamkan, sebanyak 34 kompaun dikeluarkan, termasuk 13 berkaitan kesihatan dan 14 lain atas sebab tidak melakukan pemeriksaan kesihatan (suntikan tifoid).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kes warga asing meninggalkan premis peniagaan semasa operasi bersepadu dilakukan.

Justeru, beliau berharap pelanggan terus membuat aduan kepada MPPP sekiranya mendapati gerai-gerai makan di sekitar ‘pulau’ melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).