Majlis Perbandaran Seberang Perai tawar cabutan bertuah bernilai RM1,000 kepada pembayar cukai awal

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) buat julung kali menawarkan cabutan bertuah wang tunai RM1,000 kepada lima orang pembayar cukai awal yang bertuah.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penawaran cabutan bertuah kali ini adalah untuk meraikan warga Seberang Perai yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada MPSP dalam penaiktarafan status kepada bandar raya.

 

“Cukai taksiran untuk tahun ini dan tahun lepas perlu diselesaikan sepenuhnya… Pembayaran mesti dibuat semasa tempoh peraduan iaitu bermula dari1 Julai hingga 31 Ogos tahun ini.

 

“Saya menggalakkan pembayar cukai untuk membuat bayaran cukai taksiran secara dalam talian (online) bagi mengelak kesesakan di kaunter bayaran MPSP.

 

“Bayaran secara online juga lebih mudah, pantas serta menjimatkan masa, kos serta selari dengan visi MPSP menjadi sebuah bandar rendah karbon menjelang 2022,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh, dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda, baru-baru ini.

 

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

 

Selain itu, Rozali turut memaklumkan sebanyak RM87.20 juta hasil cukai taksiran berjaya dikutip oleh MPSP sepanjang tempoh Promosi Cukai Pintu 2019 pada 1 Disember 2018 sehingga 28 Februari lalu.

 

Difahamkan, terdapat 20 hadiah cabutan bertauh seperti alat telekomunikasi dan barangan elektrik untuk untuk dimenangi.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS